BALIK PULAU – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan reman selama empat hari terhadap seorang pengembala lembu bagi membantu siasatan kes menghalang tugas anggota polis di Pasar Awam Balik Pulau, semalam.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 43 tahun itu dikeluarkan Majistret Chia Huey Ting bermula hari ini sehingga 25 Julai bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
MalaysiaGazette difahamkan, anggota Pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) yang menjalankan rondaan di kawasan pasar awam berkenaan semalam mengesan sebuah motosikal diparkir di tepi medan selera sebelum mendapati suspek berada dalam keadaan mencurigakan.
Ketika pemeriksaan dijalankan, suspek didakwa enggan memberikan kerjasama sehingga berlaku pertengkaran dengan anggota polis.
Lelaki terbabit kemudian dipercayai bertindak mengasari seorang anggota polis dengan memukul bahagian dada mangsa sebelum berjaya ditahan di lokasi kejadian.
Difahamkan, lelaki terbabit pernah ditahan pada tahun 2024 atas kesalahan sama selepas dipercayai memukul anggota polis ketika pemeriksaan dijalankan. – MalaysiaGazette
















