Muhammad Anwar (baju hitam) dan Md Roshidul (warga Bangladesh) didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan jual beli minyak masak bersubsidi.

BUTTERWORTH – Seorang peniaga tempatan dan lelaki warga Bangladesh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan berasingan melibatkan penjualan dan pembelian minyak masak paket bersubsidi.

Tertuduh, Muhammad Anwar Karthiban, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, peniaga itu didakwa menjual barang kawalan iaitu minyak masak dalam bungkusan polibeg sebanyak 1 kilogram (kg) kepada warga asing di sebuah premis di Lingkaran Cassia Barat pukul 5.40 petang pada 19 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Peraturan 2(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Minyak Masak) 2026 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Sementara itu, tertuduh warga Bangladesh, Md Roshidul Malitha, 44, pula, didakwa pertuduhan membeli 1 kg barang kawalan tersebut, yang mana ia tidak boleh dijual kepada bukan warga Malaysia pada jam 5 petang di tempat dan hari yang sama dengan pertuduhan Muhammad Anwar.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Minyak Masak) 2026 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda sehingga RM2 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Alsad Nasrullah manakala mereka tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan masing-masing mereka diikat jamin RM3,000 beserta seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan kepada Md Roshidul iaitu perlu melaporkan diri di pejabat KPDN pada setiap bulan.

Kes akan disebut semula 21 Ogos depan sementara menunggu laporan kimia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast