Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal berusia 21 tahun maut selepas tercampak ke laluan bertentangan sebelum terkena bahagian tepi sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Meru Tambahan, Klang, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu melibatkan sebuah motosikal dan sebuah lori.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Jalan Nenas, Klang menuju ke Puncak Alam dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan terkena bahagian tepi sebuah lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun yang sedang meneruskan perjalanan.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast