Datuk Dennis Lim (tengah) bercakap pada sidang media di IPD Timur Laut hari ini.

GEORGE TOWN – Pemilik rumah dan ejen hartanah di negeri ini diminta lebih berwaspada ketika menyewakan premis mereka bagi mengelakkan ia disalahgunakan sebagai pusat operasi sindiket penipuan (scammer).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, kegagalan membuat semakan latar belakang penyewa boleh menyebabkan premis dijadikan lokasi kegiatan jenayah tanpa disedari pemilik.

“Kami menasihatkan semua pemilik rumah supaya membuat semakan terhadap bakal penyewa sebelum menyewakan premis mereka. Jika urusan dibuat melalui ejen, semak juga latar belakang ejen berkenaan.

“Jangan menerima penyewa sewenang-wenangnya tanpa pemeriksaan sewajarnya kerana langkah ini boleh mengelakkan premis disalahgunakan bagi kegiatan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejayaan polis menumpaskan lima pusat penipuan dalam talian di kediaman mewah termasuk banglo di Pulau Pinang sejak satu hingga dua bulan lalu.

Tambah beliau, polis juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara yang terbabit mengikut peruntukan undang-undang antarabangsa, selain menjalankan siasatan terhadap semua suspek yang ditahan mengikut Akta Imigresen.

Media pada Jumaat lalu melaporkan, Polis Pulau Pinang menyerbu beberapa premis yang dipercayai dijadikan pusat panggilan penipuan pelaburan tidak wujud di Taman Pantai Batu, Tanjung Bungah; Villa Moonlight Bay, Batu Ferringhi; Taman Bukit Dumbar, Gelugor dan Jalan Sungai Kelian, George Town.

Kata Dennis Lim, serbuan pada 16 Julai itu membawa kepada penahanan 80 individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan 79 warga asing dari China, Vietnam serta Kemboja.

“Siasatan awal mendapati premis-premis itu telah beroperasi lebih sebulan dan turut dijadikan sebagai tempat tinggal pekerja sindiket.

“Kesemua warga asing dipercayai ditawarkan pekerjaan di Malaysia melalui platform dalam talian atau ejen sebelum dibawa ke premis berkenaan.

“Mereka ditawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan gaji antara RM3,200 hingga RM5,000 sebulan, dengan tugas menghubungi serta memujuk mangsa menyertai skim pelaburan tidak wujud,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast