SINGAPURA – Rakyat Singapura terus memiliki pasport paling berkuasa di dunia, dengan akses tanpa visa atau visa semasa ketibaan ke 192 destinasi.
Republik itu mengekalkan kedudukan teratas dalam Indeks Pasport Henley terbaharu yang diterbitkan buat kali kedua bagi 2026 pada 21 Julai lalu.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencatat peningkatan terbesar sejak laporan terdahulu pada Januari apabila melonjak tiga anak tangga untuk berkongsi tempat kedua bersama Jepun dan Korea Selatan, dengan masing-masing mempunyai akses ke 188 destinasi.
Sweden berada di tempat ketiga dengan akses ke 187 destinasi, diikuti 11 negara Eropah lain yang berkongsi kedudukan keempat.
Negara yang berada di tempat keempat dengan akses ke 186 destinasi ialah Belgium, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Luxembourg, Belanda, Norway dan Sepanyol.
Austria, Greece, Malta, Portugal dan Switzerland pula berkongsi tempat kelima dengan akses ke 185 destinasi, manakala Hungary, Poland dan United Kingdom berada di tempat keenam.
Di tempat ketujuh ialah Malaysia, Australia, New Zealand, Kanada serta empat lagi negara Eropah.
Pasport Singapura turut menduduki tempat pertama dalam ranking Januari yang diterbitkan oleh Henley & Partners, sebuah firma yang mengkhusus dalam perancangan pemastautinan dan kewarganegaraan.
Di hujung senarai, Afghanistan sekali lagi berada di kedudukan terakhir daripada 199 pasport yang dinilai, dengan akses ke hanya 22 destinasi.
Jumlah itu berkurangan dua destinasi berbanding 24 destinasi yang direkodkan pada Januari, sekali gus mewujudkan jurang mobiliti global terbesar pernah direkodkan iaitu 170 destinasi berbanding Singapura yang berada di kedudukan teratas.
Bagaimanapun, indeks yang kini memasuki tahun ke-20 itu menunjukkan purata pasport di seluruh dunia kini menawarkan akses tanpa visa ke 108 destinasi, meningkat berbanding hanya 58 destinasi ketika indeks itu mula diperkenalkan pada 2006.
Henley & Partners turut memaklumkan bahawa kebebasan perjalanan global berkembang dengan ketara sepanjang dua dekad lalu.
Pada 2006, pasport paling berkuasa ketika itu yang dimiliki rakyat Amerika Syarikat (AS), Denmark dan Finland membolehkan akses tanpa visa ke 130 destinasi.
Perkembangan mobiliti global itu berlaku walaupun keamanan dunia merosot selama 12 tahun berturut-turut, menurut Indeks Keamanan Global (GPI) terbaharu yang diterbitkan oleh Institute for Economics & Peace.
Berdasarkan perbandingan antara kedua-dua indeks, Henley & Partners mendapati terdapat hubungan yang kukuh antara tahap keamanan sesebuah negara dengan kekuatan pasportnya sepanjang 20 tahun lalu.
Singapura berada di tempat kelapan dalam GPI dan pertama dalam HPI, manakala Jepun, Switzerland, Ireland, Austria, Portugal, Finland, Denmark, New Zealand, Kanada, Republik Czech dan Malaysia turut mencatat kedudukan tinggi dalam kedua-dua indeks tersebut.
Sebaliknya, Afghanistan, Syria dan Yaman merupakan antara negara paling tidak aman di dunia serta memiliki pasport paling lemah.
Antara pengecualian ialah Israel, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Ukraine dan Rusia yang berada pada kedudukan tinggi dalam Indeks Pasport Henley tetapi lebih rendah dalam ranking keamanan.
Pencipta Indeks Pasport Henley yang juga Pengerusi Henley & Partners, Christian H. Kaelin berkata, data selama 20 tahun menunjukkan bahawa kekuatan pasport merupakan antara gambaran paling jelas mengenai modal geopolitik sesebuah negara dan mencerminkan lebih daripada sekadar keamanan atau kemakmuran.
Menurutnya, pasport paling berkuasa dimiliki negara yang mahu dijadikan rakan oleh negara lain dari segi perdagangan, pelaburan, keselamatan dan kerjasama.
“Mobiliti akhirnya menjadi ukuran terhadap nilai yang diberikan negara lain kepada hubungan mereka dengan sesebuah negara,” katanya.
Indeks Pasport Henley yang diterbitkan dua kali setahun menyenaraikan pasport dunia berdasarkan jumlah destinasi yang boleh dimasuki pemegangnya tanpa perlu mendapatkan visa terlebih dahulu.
Indeks itu berasaskan data perjalanan rasmi yang dikendalikan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan digunakan oleh syarikat penerbangan serta kerajaan di seluruh dunia bagi menentukan syarat kemasukan. -AGENSI
















