SEREMBAN – Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa mendakwa Pakatan Harapan (PH) mempunyai elemen perkauman yang lebih ketara berbanding PN.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad bahawa naratif penyatuan ummah boleh mencetuskan perpecahan kaum.

Menurutnya, Islam sendiri mengharamkan perjuangan berasaskan perkauman.

“Penyatuan ummah langsung tidak membawa kepada perkauman. Islam mengharamkan asabiyah dan perjuangan berasaskan kaum.

“Saya fikir kalau hendak diukur melalui ucapan, tindakan, rekod dan sejarah, PH jauh lebih mempunyai elemen perkauman daripada PN,” katanya pada sidang media di Pusat Media PN Ampangan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Khalid dalam sidang media mendakwa naratif “Penyatuan Ummah” yang dibawa BN dan PN dalam kempen PRN Negeri Sembilan bukan bertujuan menyatukan rakyat, sebaliknya berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum.

Khalid berkata, pendekatan penyatuan ummah berasaskan Melayu-Islam hanya akan memecahbelahkan masyarakat majmuk serta menimbulkan kebencian, perpecahan dan ketegangan kaum.

Annuar juga berkata, PN sendiri terdiri daripada pelbagai parti yang dianggotai masyarakat berbilang kaum.

“Pas sendiri menerima penyertaan bukan Islam melalui sayap penyokongnya dan mengamalkan keterbukaan dalam organisasi parti.

“Tuduhan bahawa penyatuan ummah bersifat eksklusif kepada Melayu dan Islam tidak berasas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Naratif ‘penyatuan ummah’ BN-PN boleh cetus bibit ketegangan kaum

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast