Azry Akmar (kiri) menunjukkan antara rampasan kabel solar di IPK Pahang hari ini.

KUANTAN – Polis berjaya menumpaskan kegiatan curi kabel solar dan komponen telekomunikasi dipercayai didalangi seorang warga Indonesia dan 10 ahli ‘Geng Lakino Garuda’ yang mengakibatkan kerugian hampir RM1 juta.

Menurut Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, pihaknya berjaya menahan sembilan suspek yang terlibat menerusi beberapa siri serbuan di sekitar Kuantan, Pahang dan Shah Alam, dan Sepang di Selangor pada 27 Jun hingga 17 Julai baru-baru ini.

“Empat daripada suspek yang ditahan merupakan rakyat tempatan, manakala empat lagi suspek lelaki pendatang tanpa izin (PATI)  Indonesia dan seorang lelaki warga China, semuanya berusia antara 26 tahun hingga 52 tahun.

“Dua lagi suspek iaitu lelaki tempatan masih dikesan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Datuk Azry Akmar menunjukkan gambar suspek yang masih bebas

Beliau berkata, polis merampas 1,587 keping cip elektronik, 21 gulung kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), 40 gulung cooper tape milik TNB dan 23 unit card cage elektronik, sebuah pacuan empat roda, tiga bilah parang dan sembilan telefon bimbit pelbagai jenama.

Azry berkata, sepanjang bulan Februari hingga Jun tahun ini, polis menerima keseluruhan 21 laporan berkaitan kes kecurian kabel solar dan komponen telekomunikasi di Perak (8 kes), Negeri Sembilan (5 kes), Terengganu (3 kes) dan Pahang (5 kes).

Antara cip elektronik yang berjaya dirampas

“Di Pahang, antara laporan diterima membabitkan kes di ladang solar Pekan; dua kes di DC Solar Di Re Gebeng, Gebeng; UiTM Solar, Gambang dan Pencawang UMobile, Bandar Putra, Kuantan melibatkan 98,000 meter kabel solar dan komponen telekomunikasi dicuri yang menyebabkan kerugian keseluruhan anggaran RM912,000,” katanya lagi.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast