KUALA LUMPUR – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) akan dirujuk kepada Jemaah Menteri untuk perbincangan terlebih dahulu sebelum didedahkan kepada umum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika perbincangan tidak perlu dilakukan, hasil laporan tersebut akan dikeluarkan hari ini, sebaliknya jika perbincangan perlu dibuat, kerajaan akan mengumumkannya pada Rabu depan.
Sehubungan itu, beliau akan berbincang dengan Ketua Setiusaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sama ada prosesnya harus dirujuk kepada Kabinet terlebih dahulu.
“Saya telah membawa perkara ini kepada perhatian KSN sama ada kita perlu merujuknya kepada Kabinet terlebih dahulu atau saya boleh mengumumkannya kepada umum secepat mungkin.
“Jika tidak perlu, saya akan keluarkannya hari ini. Jika perlu, saya akan tunggu sehingga Rabu kerana rakyat perlu tahu (laporan tersebut),” ujarnya selepas merasmikan pelancaran wacana antarabangsa Humane Economy Global Discourse (HEGD) hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi (FEM), Prof Datuk Dr Saadiah Mohamad.
Perdana Menteri ditanya sama ada kerajaan akan mengumumkan kesemua lapan jilid laporan RCI kepada umum.
Beliau selanjutnya menjelaskan, keputusan Jemaah Menteri sebelum ini adalah untuk menerbitkannya namun dilanjutkannya kerana bimbang pengurusan TH ketika itu sedang dalam proses pemulihan untuk membersihkan agensi itu berdasarkan pandangan dan teguran dalam laporan suruhanjaya.
“Ketika laporan itu dibentangkan kepada kami, keputusan adalah untuk menerbitkannya kepada umum namun bimbang kerana pembaharuan sedang dilakukan untuk memperbetul beberapa perlanggaran peraturan.
“Saya tidak boleh kata rasuah namun ia melibatkan penyalahgunaan yang besar. Kebimbangan kami ketika itu ialah terhadap simpanan TH.
“Namun selepas beberapa tahun, Tan Sri Rashid (Hussain) dan pasukannya telah melaksanakan tugas untuk menguruskan TH dan melakukan audit yang baik,” ujarnya.
Menurut perdana menteri, oleh yang demikian tiada sebab untuk kerajaan tidak mendedahkan laporan tersebut kepada umum.
Sementara itu, Zulkifli ketika menjawab soalan di Dewan Negara semalam memaklumkan penjualan aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) adalah keputusan kolektif Jemaah Menteri pada 2018.
Beliau berkata, Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia mendedahkan masalah kewangan serius TH apabila jurang defisit antara aset dengan liabiliti institusi itu mencecah RM10.9 bilion pada tahun itu.
Katanya, keputusan menyelamatkan TH terbukti berhasil apabila deposit institusi itu meningkat daripada kira-kira RM69.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM95.1 bilion pada pertengahan tahun ini.
Pada 14 Julai 2021, laporan media menyatakan, kerajaan akan menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH.
Penubuhan RCI itu hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.
Antara terma RCI yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri ialah skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit TH dari 2014 hingga 2020. – MalaysiaGazette
















