Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kritikan Malaysia terhadap Israel serta pendirian negara itu untuk tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara berkenaan merupakan satu pendirian berprinsip dalam menolak genosid dan tidak seharusnya dianggap sebagai antisemitisme, kata ahli akademik Profesor Dr Joseph A. Massad.

Sarjana Pengajian Asia Barat, Asia Selatan dan Afrika di Universiti Columbia itu berkata Israel tidak mewakili keseluruhan masyarakat Yahudi di seluruh dunia, sambil menyifatkan dakwaan bahawa penentangan terhadap Israel secara automatik bersifat antisemitik sebagai tidak berasas.

Beliau berkata walaupun Amerika Syarikat (AS) terus memberi tekanan kepada negara majoriti Islam dan negara Arab untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel, Malaysia wajar dipuji kerana kekal dengan pendirian lama untuk tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara itu.

“Tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan sebuah negara yang melakukan genosid merupakan satu pendirian menentang genosid.

“Ia bukan penentangan terhadap orang Yahudi, kecuali bagi mereka yang percaya bahawa semua orang Yahudi bertanggungjawab terhadap perkara itu. Golongan sedemikianlah yang bersikap antisemitik, bukannya mereka yang enggan mengiktiraf bahawa Israel mewakili keseluruhan masyarakat Yahudi,” katanya.

Belia berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Identiti Muslim Dalam Dunia Global’ di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Massad berkata demikian ketika mengulas pendirian tegas Malaysia terhadap Israel sejak sekian lama, termasuk tindakan mengusir warga Israel yang didakwa mempunyai kaitan dengan operasi Network School di Forest City, Johor.

Kontroversi itu tercetus selepas satu akaun media sosial tanpa nama mendakwa Network School melindungi pendatang tanpa izin, termasuk warga Israel.

Susulan dakwaan berkenaan, pihak berkuasa Malaysia menjalankan pemeriksaan di kampus terbabit pada 14 Julai dengan menyemak ratusan pasport individu dari 40 negara, termasuk pemegang pasport dwi-kewarganegaraan.

Pada 15 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan mengusir mana-mana warga Israel yang didapati memasuki negara ini, selaras dengan dasar kerajaan yang tidak membenarkan kemasukan rakyat Israel.

Tindakan itu mendorong lapan anggota Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS Marco Rubio pada Selasa lalu bagi menyatakan rasa tidak puas hati dan bantahan terhadap keputusan berkenaan.

Mengulas perkara itu, Anwar menegaskan Malaysia akan terus melarang kemasukan warga Israel ke negara ini kerana pendirian kerajaan berasaskan komitmen mempertahankan hak rakyat Palestin serta menentang penindasan, pencerobohan dan pembunuhan berterusan terhadap rakyat Palestin di Gaza.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast