JELEBU – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menaikkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai terdesak dan demi meraih sokongan rakyat.
Hamzah yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagaimanapun berkata, sebarang bantuan kepada rakyat wajar disyukuri, namun pengundi perlu menilai masa pengumuman itu dibuat.
“Untuk kepentingan rakyat, tambahlah kalau dia nak tambah 100 peratus pun, Alhamdulillah. Kalau dia tambah lagi banyak pun, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana diberikan kepada rakyat.
“Cuma rakyat kena sedar sikitlah yang diumum itu masa pilihan raya negeri (dan) orang yang mengumumkan waktu pilihan raya itu, maknanya dia terdesak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program ceramah umum bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang di Felcra Lakai di sini malam tadi.
Terdahulu, Hamzah yang juga Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) diminta mengulas pengumuman Anwar mengenai kadar SARA akan dinaikkan lagi pada tahun depan ketika berucap kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Jelajah Kekal Harapan di Paroi, malam tadi.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, seorang perdana menteri sepatutnya membuat pengumuman bantuan berdasarkan tanggungjawab kepada rakyat, bukannya didorong kepentingan politik.
“Orang yang stabil pemikirannya dia akan pastikan yang dia lakukan, yang dia umumkan itu adalah sesuatu yang bertanggungjawab dan bukan hanya kehendak politik semata-mata tetapi untuk kepentingan rakyat.
“Kalau ianya semata-mata untuk kepentingan politik, rakyat sudah faham akan tabiat pemimpin yang seperti ini. Dia buat ini, mungkin kerana dia takut, tak fikir sama ada ini salah ataupun tidak,” katanya. – MalaysiaGazette
















