KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan ditahan berhubung kes cubaan samun van keselamatan yang membawa wang tunai, di Bukit Tinggi, Klang, 20 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk M Kumar S Muthuvelu, berkata lelaki tersebut ditahan dalam serbuan di Shah Alam, hari ini menerusi satu operasi khas digerakkan Bahagian D9, JSJ Bukit Aman untuk menjejaki suspek yang terbabit.
Tambah beliau, polis juga berjaya merampas semula senjata api yang dilarikan sebelum ini iaitu selaras ‘pump gun’ jenama Mossberg berserta sebutir peluru 12 bore.
Turut dirampas sepucuk pistol pelepas olahraga (starter pistol) jenama Ekol Lite berserta 48 butir peluru jenis ‘blank’.
“Hasil risikan dan kecekapan pasukan serbuan, suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu berjaya ditangkap pada jam 11 pagi tadi di kawasan Shah Alam, Selangor.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) akan dibuat di mahkamah esok.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan rompakan bersenjata serta cuba menyebabkan kematian atau cedera parah.
Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.
Tambah Kumar, kes turut disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana menonjolkan senjata api pada melakukan sesuatu kesalahan berjadual (rompakan).
Jika disabitkan atas kesalahan ini, suspek bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup berserta sebatan tidak kurang daripada enam kali,” katanya.
Terdahulu, media pada 20 Julai lalu melaporkan suspek cuba merompak van keselamatan dan bertindak nekad merampas selaras senjata api milik pengawal keselamatan sebelum melarikan diri dengan motosikal. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Kes rompak bank : Pemandu van keselamatan meninggal dunia akibat jantung















