JEMPOL – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu Tabung Haji perlu didedahkan segera kepada umum bagi memastikan rakyat, khususnya para pendeposit, mengetahui keadaan sebenar yang berlaku sebelum ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, pendedahan laporan itu juga penting demi menjunjung prinsip ketelusan, akauntabiliti dan keadilan, selain membolehkan rakyat menilai sendiri dapatan siasatan tersebut.

“Saya amat menyokong kenyataan Perdana Menteri bahawa laporan RCI mengenai Tabung Haji wajar didedahkan.
“Ini supaya para penyimpan dan pencarum boleh tahu apa yang sebenarnya berlaku sebelum ini, dan rakyat Malaysia amnya mendapat maklumat yang penuh,” katanya.
Beliau berkata demikian sejurus program ziarah di sekitar Felda Palong 1 bersama calon Pakatan Harapan (PH) Dun Jeram Padang, Manivanan Gowin di sini, hari ini.
Menurut Fahmi, kerajaan juga yakin pengurusan serta pentadbiran Tabung Haji ketika ini berada pada kedudukan yang jauh lebih baik berbanding sebelum ini hasil pembaharuan yang telah dilaksanakan.
Beliau berharap laporan RCI itu dapat diterbitkan dalam kadar segera agar ia boleh diteliti dan dibaca sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.
“Kita nak laporan ini diterbitkan secepat mungkin supaya dapat diteliti dan dibaca sepenuhnya oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri memberi bayangan bahawa laporan RCI berhubung Tabung Haji akan didedahkan kepada umum sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan tadbir urus yang baik. – MalaysiaGazette
















