Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang pengurus sebuah syarikat pembinaan dan kejuruteraan elektrikal kerugian RM377,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan tender pembekalan papan litar elektrik tidak wujud.

Kejadian dikatakan berlaku pada 13 Julai lalu apabila mangsa, seorang wanita berusia 49 tahun itu menerima panggilan daripada seorang individu yang menawarkan peluang mendapatkan tender pembekalan peralatan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, suspek kemudian meyakinkan mangsa bahawa syarikatnya berjaya memperoleh tender tersebut dan perlu membuat beberapa bayaran sebagai syarat bagi melancarkan proses perolehan.

“Percaya dengan tawaran yang diberikan, mangsa telah membuat empat transaksi pembayaran berjumlah RM377,000 daripada akaun Bank Islam milik syarikat ke akaun CIMB Bank atas nama Titan Engineering Trading.

“Bagaimanapun, selepas semua pembayaran dibuat, mangsa gagal menghubungi individu terbabit dan mendapati tender yang dijanjikan sebenarnya tidak wujud,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 bagi tindakan segera sebelum laporan maklumat pertama (FIR) dibuat.

Azry Akmar menasihatkan orang ramai khususnya syarikat dan usahawan supaya lebih berhati-hati terhadap sebarang tawaran tender yang diterima, terutama yang memerlukan bayaran pendahuluan atau transaksi segera.

“Lakukan semakan terperinci dengan agensi, jabatan atau syarikat yang menawarkan tender sebelum membuat sebarang pembayaran.

“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang diterima melalui panggilan telefon, aplikasi pesanan atau media sosial tanpa pengesahan daripada pihak yang sah,” ujarnya.

Beliau turut menggesa orang ramai membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon melalui platform Semak Mule sebelum menjalankan sebarang urusan kewangan.

“Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan hendaklah segera menghubungi NSRC di talian 997 atau tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan pantas diambil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast