Datuk Seri Mohamad Hasan

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) mempunyai kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu berkaitan krisis takhta Negeri Sembilan sekiranya gabungan itu kembali diberi mandat mentadbir negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun enggan mendedahkan kaedah berkenaan dan meminta rakyat memberikan mandat terlebih dahulu kepada BN sebelum penyelesaian tersebut diumumkan.

“Barisan Nasional kita memang melalui dan menguruskan krisis dalam keadaan yang baik. Kita ada kaedah yang terbaik bagaimana kita menghadapi sesuatu krisis berdasarkan kepada sejarah tadbir kita.

“Tak apa, biar kita menang dulu. Kita menang dulu. Bila menang, besok kita dapat ilham,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan manifesto BN bagi PRN Negeri Sembilan malam ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mampu membantu mencari penyelesaian terbaik terhadap pertikaian diraja yang sedang berlaku antara empat Undang negeri itu dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sekiranya gabungan itu diberi mandat untuk kembali mentadbir negeri.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pengalaman mentadbir negeri serta kefahaman terhadap Adat Perpatih menjadi antara asas penting dalam menguruskan sebarang isu berkaitan institusi diraja di Negeri Sembilan.

Katanya, Adat Perpatih perlu didokumentasikan dengan baik dan dijadikan panduan supaya perkara berkaitan adat dan pentadbiran tidak menimbulkan pertikaian pada masa hadapan.

“Dulu masa saya mentadbir Negeri Sembilan, saya ada bagi peruntukan yang besar kepada satu universiti dengan hasrat supaya ia dibukukan dan didokumentasikan secara betul kerana selama ini ia hanya disampaikan secara lisan.

“Mesti didokumentasikan, baik dari bawah sampai ke atas agar ia menjadi rujukan dan panduan kepada pengamal-pengamal adat, supaya kita tidak timbul masalah seperti apa yang kita hadapi sekarang,” katanya.

Menurutnya, penyelesaian terhadap sebarang kemelut perlu dilakukan berlandaskan semangat muafakat dan keharmonian antara adat dengan hukum.

“Orang tua kata, baik adat tak gaduh hukum, baik hukum tak gaduh adat. Ibu adat mufakat. Jadi mufakatlah supaya jangan kita bertumbuk-tumbuk. Ini yang perlu kita urus dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast