KUALA LUMPUR – Syarikat e-dagang penstriman langsung Malaysia, JAM, kini mempercepatkan strategi pertumbuhannya menerusi pasaran rasmi segmen pasaran Bahasa Melayu terbaharu, JAM Bahasa berserta pembukaan studio produksi penstriman langsung eksklusifnya.
Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan JAM, Cherine Fong berkata, pelancaran JAM Bahasa itu merupakan salah satu langkah pertumbuhan paling penting syarikat pada tahun ini bagi menyasarkan demografi pengguna berbahasa Melayu.
Menurutnya, perkembangan itu menandakan langkah besar pertama syarikat di luar pasaran penonton berbahasa Cina sekali gus memanfaatkan potensi besar pasaran Melayu yang merupakan komuniti pengguna terbesar di Malaysia.
Bagi menerajui perniagaan baharu itu, JAM telah menjalinkan kerjasama strategik dengan pasangan selebriti terkenal tanah air, Scha Alyahya dan Awal Ashaari, yang menyertai syarikat sebagai pengasas bersama dan bukan sekadar duta jenama.
“Pelantikan ini menyelaraskan kepentingan kedua-dua belah pihak demi pertumbuhan perniagaan jangka panjang selain membuktikan keyakinan syarikat terhadap model perniagaan mereka yang boleh dicontohi dan diulangi.
“Komuniti Melayu merupakan kuasa beli terbesar di Malaysia, menawarkan peluang pasaran yang amat luas, namun segmen e-dagang live secara premium masih belum diteroka sepenuhnya. Apa yang membakar semangat kami adalah model perniagaan ini sebenarnya bersifat universal.
“Kami akan mengguna pakai formula kejayaan yang telah terbukti dalam segmen KOL (pempengaruh) berbahasa Cina, memperkasakannya dengan elemen tempatan (lokalisasi) dan membawakannya ke pasaran Melayu.
“Jika strategi ini berjaya diaplikasikan daripada satu komuniti ke komuniti yang lain dalam negara yang sama, ia menjadi bukti kukuh bahawa model perniagaan kami mempunyai kebolehskalaan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ditubuhkan pada April 2024, JAM mencatatkan lonjakan perniagaan sebanyak tiga kali ganda pada tahun kedua operasinya.
Ia mencerminkan permintaan yang kian meningkat daripada jenama dan pencipta kandungan terhadap perkhidmatan e-dagang penstriman langsung yang profesional.
Bermula dengan menguruskan sebilangan kecil KOL di Instagram, JAM kini berkembang menjadi Rangkaian Multi-Saluran (MCN) menyeluruh yang meliputi platform TikTok, Shopee, Lazada dan Instagram.
Pada tahun pertama operasinya bermula April 2024 hingga Mac lalu, JAM berjaya meraih Nilai Barangan Kasar sebanyak RM3.5 juta.
Angka terus berkembang pesat didorong oleh kekerapan sesi penstriman langsung, kualiti produksi yang lebih tinggi, serta kadar penukaran jualan yang semakin meningkat.

Bahasa merupakan salah satu langkah pertumbuhan paling penting syarikat pada tahun ini bagi
menyasarkan demografi pengguna berbahasa Melayu.
Cherine menambah, pertumbuhan syarikat dipacu oleh pengoptimuman operasi penstriman langsung serta kejayaan perluasan perniagaan penstriman langsung berbentuk afiliasi dan kedai.
Menurut, JAM telah memperbesarkan barisan pempengaruh dan KOL bagi jumlah slot langsung bulanan yag kini semakin meningkat dan paling penting, kualiti setiap sesi itu menjadi semakin matang.
Beliau berkata, bagi memenuhi permintaan pelanggan yang kian meningkat, JAM baru-baru ini telah membuka sebuah studio produksi penstriman langsung eksklusif seluas 6,500 kaki persegi yang dilengkapi dengan 13 bilik produksi serba lengkap.
Fasiliti ini membolehkan pemilik jenama menyerahkan keseluruhan operasi live mereka termasuk perancangan kandungan, penulisan skrip, latihan hos, produksi di set, serta pengurusan jualan masa nyata.
Ini memperkukuhkan lagi keupayaan JAM dalam memenuhi permintaan yang semakin berkembang merentasi setiap cabang perniagaannya. – MalaysiaGazette
















