SERI KEMBANGAN – Sebuah kedai barangan perkakasan berhampiran Pasar Borong Selangor, di sini musnah dalam kebakaran yang bermula kira-kira 11 malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar yang mengesahkan perkara itu berkata, kerja pemadaman api masih giat dijalankan.
Beliau berkata, api semakin marak dan mula merebak ke beberapa premis berhampiran, menyebabkan jentera tambahan terpaksa digerakkan ke lokasi kejadian.
Tambahnya, setakat ini belum ada laporan lengkap dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Siaran live di media sosial orang awam menunjukkan api masih marak dan beberapa individu dipercayai pemilik serta pekerja premis berhampiran bertindak mengalihkan stok barangan masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.
Operasi pemadaman dilaporkan agak sukar berikutan terdapat sejumlah tong gas yang disimpan di dalam premis berkenaan, yang dikhuatiri boleh mencetuskan letupan. – MalaysiaGazette
















