BUTTERWORTH – Seorang pemandu van sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan berusia lapan tahun enam bulan, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Bakeri Abdullah, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menggosok kemaluan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun enam bulan ketika mangsa tertidur di tempat duduk penumpang hadapan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza milik tertuduh.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam MPV berkenaan antara jam 4.30 petang hingga 5.15 petang pada 15 Julai lalu, di hadapan sebuah kedai Taman Sepadu Jaya di Tasek Gelugor di sini.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadhirah Abdul Rahim, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Nur Arif.
Ketika prosiding, Nadhirah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes membabitkan mangsa kanak-kanak selain aduan dibuat oleh pihak hospital.
“Bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, saya mohon tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan dan tidak mendekati mangsa serta saksi pendakwaan,” katanya.
Manakala Muhammad Nur Arif dalam mitigasi rayuan memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan alasan tertuduh memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dengan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk siasatan.
“Tertuduh mempunyai tujuh orang anak dan kini menanggung isteri serta anak bongsunya yang berusia 21 tahun. Malah, dia juga tidak berisiko melarikan diri kerana menetap di Tasek Gelugor di sini.
“Isteri dan anak tertuduh juga hadir di mahkamah untuk menjadi penjamin sekiranya jaminan dibenarkan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 1 September depan. – MalaysiaGazette
















