SEOUL – Pengerusi SK Group, Chey Tae-won, 65, yang menerajui konglomera SK hynix, diarahkan Mahkamah Tinggi Seoul membayar 944 bilion won (kira-kira AS$644 juta, RM2.7 bilion) kepada bekas isterinya, Roh Soh-yeong, dalam kes perceraian berprofil tinggi.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Seoul pada 2024 mengarahkan Chey membayar 1.38 trilion won (AS$940 juta) kepada Roh, anak perempuan bekas Presiden Korea Selatan, Roh Tae-woo.
Jumlah tersebut, yang melebihi AS$1 bilion mengikut kadar pertukaran ketika keputusan itu dibuat, menyebabkan media tempatan menggelarkannya sebagai “perceraian tertinggi abad ini”.
Bagaimanapun, Chey mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Agung, yang kemudiannya mengarahkan Mahkamah Tinggi menilai semula keputusan 2024.
Keputusan semakan itu mengurangkan jumlah bayaran kepada 944 bilion won (AS$644 juta).
Namun, penyelesaian itu masih belum muktamad kerana kedua-dua pihak masih boleh merujuk semula kes berkenaan kepada Mahkamah Agung.
Kes perceraian yang berlarutan itu tertumpu kepada tafsiran dan penilaian aset bersama pasangan terbabit, termasuk pegangan saham Chey yang amat bernilai dalam SK Group.
SK Group adalah pemilik pengeluar cip memori terkemuka dunia.
Mahkamah Tinggi Seoul pada Jumaat memutuskan Roh berhak menerima bayaran tunai bersamaan satu pertiga daripada jumlah aset perkahwinan pasangan itu.
“Pegangan saham defendan meningkat dengan ketara sepanjang tempoh perkahwinan hasil aktiviti pengurusannya. Plaintif turut menyumbang kepada peningkatan tersebut melalui pengurusan rumah tangga, penjagaan anak serta penglibatan dalam aktiviti awam berkaitan SK Group,” menurut mahkamah.
Chey dan Roh berkahwin pada 1988, namun dipercayai telah tinggal berasingan selama lebih 15 tahun dan pada 2015.
Dengan SK hynix kini membekalkan cip memori penting kepada syarikat pengkomputeran kecerdasan buatan (AI), Nvidia, nilai pegangan saham Chey dianggarkan sekitar AS$5.5 bilion, berdasarkan pemfailan kawal selia dan data awam.
Roh, 65, mempunyai tiga orang anak bersama Chey dan kini aktif dalam bidang seni serta mengendalikan sebuah muzium seni digital.
Pasangan itu berkahwin di Blue House, kediaman rasmi Presiden Korea Selatan di Seoul, ketika bapa Roh, Roh Tae-woo, memimpin negara itu dari 1988 hingga 1993.
Mereka mula bertelagah di mahkamah mengenai perceraian sejak 2022 selepas Chey memfailkan perceraian pada 2017 dan proses mediasi gagal mencapai persetujuan.
Mahkamah turut meneliti sama ada peningkatan mendadak nilai SK Group sejak pasangan itu berpisah, didorong ledakan industri AI, perlu dimasukkan dalam pembahagian aset.
“Mahkamah mengambil kira peningkatan ketara nilai pegangan saham defendan ketika menentukan nisbah pembahagian harta,” menurut kenyataan mahkamah.
Nilai saham SK Group telah meningkat lebih tiga kali ganda sejak Disember 2015.
Mahkamah Agung sebelum ini turut mengarahkan Chey membayar nafkah sebanyak 2 bilion won kepada Roh. – Agensi
















