Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 November 2025.

KUALA LUMPUR – Pendedahan segera laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) bukan sahaja akan membuktikan siapa dalang di sebalik keruntuhan agensi itu, tetapi juga individu sebenar yang berusaha menyelamatkannya.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, reputasi beliau dipertaruhkan melalui edaran fitnah di media sosial sebagai pihak yang bertanggungjawab ‘menjual aset TH kepada bukan Islam’.

Ujarnya, selaku Menteri Hal Ehwal Agama (2018-2020), beliau dituduh sebagai menteri yang merosakkan TH, malah hingga kini fitnah tersebut masih berlegar-legar dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) termasuk di Johor baru-baru ini dan kini di Negeri Sembilan.

“Wahai PMX segeralah dedahkan laporan RCI TH.
Saya sendiri tidak sabar untuk melihat laporan tersebut supaya rakyat didedahkan apa sebenarnya yang berlaku pada TH dari tahun 2014-2020.

“Rakyat perlu mengetahui siapa yang telah bertanggungjawab merosakkan TH dan apa peranan saya untuk memulihkan kembali TH dari 2018-2020.

“Hanya Allah tempat saya mengadu selama beberapa tahun ini agar fakta dan bukan auta yang akan menjadi penilaian umat Islam terhadap usaha PH sebelum ini untuk memenuhi janji membela institusi terbesar umat Islam,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa laporan RCI tersebut akan didedahkan kepada umum selewat-lewatnya Rabu depan.

Menurut Perdana Menteri, laporan suruhanjaya itu berhubung pengurusan dan operasi TH akan dirujuk kepada Jemaah Menteri untuk perbincangan terlebih dahulu sebelum didedahkan kepada umum.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, seawal 2023, beliau telah mengulangi soalannya di Dewan Negara bila kerajaan akan mengumumkan laporan RCI tersebut.

Ujar beliau, namun jawapan yang diterimanya adalah laporan tersebut masih di bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi).

“Ketika itu, saya menuntut di Dewan Negara supaya laporan RCI itu didedahkan bagi mengelakkan isu ini dipolitikkan.

“Pada waktu itu saya memegang portfolio Menteri Hal Ehwal Agama (2018-2020) dan bertanggungjawab memula dan melaksanakan operasi penstrukturan semula TH yang berada dalam keadaan defisit pada kadar RM 10 Bilion jurang antara aset dan tanggungannya.

“Namun, inisiatif pemulihan itu diambil kesempatan oleh parti politik tertentu khususnya PAS dan UMNO sebagai pembangkang waktu itu untuk menyerang saya di bawah tema ‘aset TH dijual oleh saya dan Lim Guan Eng’.

“Cytro Pas dan UMNO termasuk beberapa pemimpin mereka terus menuai benih fitnah tentang TH melibatkan nama saya sebagai watak utama yang merosakkan TH,” demikian jelas beliau.

Mujahid seterusnya berkata, beliau menghadiri debat awam anjuran sebuah akhbar ketika pasca kejatuhan PH 2020 bagi menjawab segala fitnah yang dilemparkan.

Jelas beliau, RCI TH dimulakan pada zaman Tan Sri Mahyudin Yassin berjawatan perdana menteri setelah diasak oleh Pas.

Ujarnya, beliau dipanggil sebagai saksi di hadapan panel suruhanjaya sebagai menteri bertanggungjawab sesi 2018-2020 semasa usaha pemulihan TH dijalankan.

“Saya bertanggungjawab penuh atas semua kenyataan yang saya berikan kepada anggota panel dan pengerusi panel Suruhanjaya untuk dibuat penilaian. Mana asasnya saya telah menjual aset TH dan apakah motif sebenarnya penstrukturan semula tahun 2018-2020 yang saya mulakan?

“Saya telah kemukakan semua dokumen yang telah diperakui sebagai jawapan saya kepada soalan-soalan yang dikemukakan oleh panel RCI yang kompeten dan bebas politik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast