KUALA LUMPUR – Malaysia dikenakan tarif sebanyak 10 peratus di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa oleh Amerika Syarikat (AS), menjadikannya antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tersebut daripada keseluruhan 60 ekonomi yang disiasat.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan memaklumkan, kadar tarif itu lebih rendah berbanding 12.5 peratus yang dikenakan terhadap ekonomi lain dalam siasatan berkenaan.
Menurut MITI, Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) mengambil kira komitmen Malaysia dalam melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa sebagai asas penetapan kadar tarif 10 peratus itu.
“Tarif 10 peratus tersebut akan berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS pada 24 Julai 2026, sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974,” menurut MITI dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, MITI berkata, bagi siasatan Seksyen 301 berkaitan lebihan kapasiti yang melibatkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan oleh USTR.
Menurut kementerian itu, sebaik sahaja USTR memuktamadkan kadar tarif berkaitan lebihan kapasiti, MITI akan memaklumkan perkembangan tersebut kepada semua pihak berkepentingan.
“MITI akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat berhubung perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette
Isu buruh paksa: AS kenakan tarif baharu 10% ke atas Malaysia
















