TEHRAN  – Tentera Iran mendakwa telah melancarkan serangan dron terhadap beberapa kemudahan dan pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Bahrain, Jordan dan Kuwait sebagai tindak balas terhadap serangan terbaharu AS ke atas republik Islam itu.

Menurut kenyataan tentera yang disiarkan televisyen negara Iran, tangki bahan api, gudang penyimpanan peralatan berskala besar, silo serta berek tentera AS di Pangkalan Udara Isa di Bahrain disasarkan menggunakan dron kamikaze Arash.

Seorang wartawan AFP di Bahrain melaporkan terdengar satu letupan dan siren amaran dibunyikan pada pagi Jumaat, namun tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua kejadian itu mempunyai kaitan.

Tentera Iran turut mendakwa melancarkan serangan dron ke atas Pangkalan Al-Azraq di Jordan, dengan menyasarkan hangar pesawat, hangar penyelenggaraan penerbangan dan berek tentera.

Bagaimanapun, Jordan setakat ini belum melaporkan sebarang serangan dalam tempoh beberapa jam kebelakangan ini.

Dalam kenyataan berasingan, tentera Iran memaklumkan pihaknya turut melancarkan serangan dron ke atas gudang peralatan tentera AS di Kem Udairi, selain menyasarkan lokasi anggota tentera AS di Kem Doha dan Kem Arifjan di Kuwait.

Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), cabang ideologi angkatan tentera Iran berkata, pihaknya turut menyasarkan Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait dan mendakwa berjaya memusnahkan sebuah depot peluru serta mengakibatkan korban dalam kalangan anggota tentera AS.

Tehran menegaskan bahawa mana-mana kemudahan atau pangkalan di Asia Barat yang digunakan tentera AS untuk melancarkan serangan terhadap Iran dianggap sebagai sasaran yang sah untuk tindakan balas. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast