Tenaga penggerak aliran akuakultur dan perikanan GAVIS 2026.

PUTRAJAYA – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapat pengiktirafan di peringkat nasional apabila dipilih sebagai penganjur bersama persidangan berprestij Global Animal Production and Veterinary Industry Summit (GAVIS 2026) oleh
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta gabungan persatuan veterinar Malaysia.

Penglibatan sulung UMT menerusi Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur (FSPA) di persidangan berprestij itu membawa naratif baharu dengan mengintegrasikan sektor pengeluaran makanan berasaskan sumber akuatik ke dalam platform yang secara tradisinya didominasi oleh sains haiwan darat.

Langkah strategik berkenaan mendokong penuh tema persidangan, Voice, One Health, One Future, memandangkan rantaian keselamatan dan keterjaminan makanan negara tidak akan lengkap tanpa mengambil kira kemampanan sumber haiwan akuatik.

Pengerusi Jawatankuasa GAVIS-UMT, Prof. Madya Dr. Noordiyana Mat Noordin, berkata UMT memanfaatkan platform global ini untuk mengukuhkan peranan universiti sebagai pusat kecemerlangan dan hab pakar rujuk dalam bidang sains perikanan serta akuakultur di Malaysia.

“Penglibatan ini membolehkan UMT mengetengahkan pelbagai penemuan dan inovasi saintifik menerusi sesi pembentangan serta perbincangan strategik antara pihak akademik, agensi kerajaan, dan pemain industri,” katanya.

Dalam persidangan GAVIS 2026, aliran akuakultur dan perikanan kendalian UMT menghimpunkan pakar terkemuka dari dalam dan luar negara menerusi dua forum utama, iaitu Charting Sustainable Shellfish Culture dan One Health in Aquaculture.

Kedua-dua forum berkenaan memberi tumpuan khusus kepada cabaran serta langkah mitigasi dalam memastikan sumber makanan akuatik selamat dan lestari. Ini termasuk usaha menangani isu rintangan antimikrob dan pencemaran mikroplastik dalam sektor akuakultur demi menyokong daya tahan ekonomi serta ketahanan makanan negara.

Penglibatan aktif UMT pada GAVIS 2026 membuktikan komitmen berterusan universiti dalam memacu penyelidikan berimpak tinggi dan melahirkan modal insan profesional bagi industri sumber akuatik, sekali gus meletakkan UMT sebagai peneraju agenda Ekonomi Biru negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast