JEMPOL – Usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan membawa industri kecil ke Sungai Lui menjadi antara fokus utama Pakatan Harapan (PH) bagi mengubah landskap ekonomi kawasan itu, sekali gus mengurangkan penghijrahan golongan muda ke bandar.
Pendekatan itu sebagai langkah jangka panjang untuk memastikan generasi kedua peneroka kembali membina kehidupan di kampung halaman, selain merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat yang selama ini banyak bergantung kepada sektor kelapa sawit dan getah.
Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, Zainal Fikri berkata, manifesto yang dibawanya bukan sekadar menjanjikan pembangunan fizikal, sebaliknya memberi penekanan kepada penciptaan peluang pekerjaan, penyediaan lot perumahan serta pembangunan ekonomi lebih mampan.
Menurutnya, rundingan dengan beberapa pelabur sedang diusahakan bagi menarik industri kecil ke Sungai Lui supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk penduduk tempatan, khususnya golongan belia.
“Kita mahu mengubah persepsi bahawa Sungai Lui hanya dikenali sebagai kawasan kelapa sawit, getah dan penempatan peneroka. Potensi kawasan ini jauh lebih besar sekiranya kita berjaya membawa pelaburan yang mampu mencipta peluang pekerjaan baharu.
“Apabila pekerjaan tersedia di kawasan sendiri, anak-anak muda tidak lagi perlu berhijrah ke bandar semata-mata untuk mencari rezeki.
“Mereka boleh terus tinggal bersama keluarga dan pada masa sama menyumbang kepada pembangunan Sungai Lui,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Selain aspek pekerjaan, beliau berkata, penyediaan lot perumahan kepada generasi muda juga antara keutamaan kerana isu tersebut menjadi cabaran utama yang menyebabkan ramai anak tempatan memilih menetap di luar kawasan.
Beliau berkata, usaha memperkukuh status pemilikan tanah juga akan terus diberi perhatian supaya lebih ramai penduduk menikmati jaminan pemilikan yang lebih baik pada masa hadapan.
Mengulas pendekatan kempennya, Zainal berkata, beliau memilih membawa konsep ‘Mesra Rakyat’ dengan memastikan setiap penduduk mendapat layanan dan bantuan tanpa mengira kecenderungan politik.
Ujarnya, pendekatan itu telah diamalkan sejak beliau berkhidmat sebagai penyelaras DUN Sungai Lui kerana baginya tugas wakil rakyat adalah menyelesaikan masalah masyarakat, bukannya memilih bulu.
“Saya tidak mahu ada jurang antara wakil rakyat dengan penduduk. Tidak perlu protokol yang menyusahkan. Datang terus berjumpa jika ada masalah kerana kita mahu membina hubungan seperti sebuah keluarga.
“Apabila rakyat mudah bertemu wakil rakyat, lebih banyak masalah dapat diselesaikan dengan cepat tanpa perlu melalui orang tengah,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Zainal berkata, DUN Sungai Lui mempunyai hampir 20,000 pengundi dengan majoritinya terdiri daripada peneroka, peladang dan petani, selain meliputi lapan tanah rancangan Felda yang menjadi tulang belakang ekonomi kawasan tersebut.
Namun, katanya, perubahan ketara dapat dilihat apabila ramai anak kepada generasi pertama peneroka kini berjaya melanjutkan pelajaran dan membina kerjaya sebagai guru, doktor, penjawat awam, usahawan serta profesional di luar kawasan.
Menurut beliau, kelompok itu kini menjadi antara pengundi paling penting dalam menentukan keputusan pilihan raya kerana mereka mempunyai pendedahan yang lebih luas terhadap perkembangan semasa dan dasar kerajaan.
“Ramai yang sudah berjaya di luar, tetapi mereka masih mempunyai hak mengundi di Sungai Lui. Saya berharap mereka pulang menunaikan tanggungjawab kerana setiap undi akan menentukan hala tuju pembangunan kawasan ini.
“Apabila mereka pulang, mereka bukan sahaja mengundi, malah boleh bersama-sama menyumbang idea, kepakaran dan pengalaman untuk membangunkan Sungai Lui pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira 85 peratus daripada hampir 20,000 pengundi di DUN Sungai Lui terdiri daripada orang Melayu, manakala bakinya ialah masyarakat Cina, India dan orang asli.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan jentera PH supaya tidak berasa terlalu yakin dengan perkembangan semasa kempen.
Sebaliknya terus bekerja keras dan menganggap diri sebagai ‘underdog’ sehingga hari pengundian bagi memastikan sokongan diterjemahkan kepada kemenangan. – MalaysiaGazette
















