SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) sudah mempunyai senarai pendek 10 individu yang layak dipertimbangkan sebagai Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, BN tidak berdepan masalah menentukan calon Menteri Besar.
Menurut beliau, senarai tersebut merangkumi pemimpin kanan serta generasi muda profesional yang berkelayakan.
“Kita ada Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan), Datuk Seri Jalaluddin Alias dan ramai lagi. Kalau nak yang muda, kita ada. Kalau nak yang profesional pun kita ada. Kita ada kira-kira 10 calon yang sudah disenarai pendek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi mempersoalkan siapakah yang akan dilantik sebagai calon Menteri Besar daripada PH sekiranya Aminuddin tewas dalam pilihan raya negeri kali ini.
Asyraf kemudian membangkitkan persoalan sama ada rakyat Negeri Sembilan mahu Anthony Loke menjadi Menteri Besar.
“Kenyataan mengenai Anthony Loke sebelum ini hanyalah sindiran politik bagi mempersoalkan siapa calon Menteri Besar PH sekiranya Datuk Seri Aminuddin Harun gagal mempertahankan kerusinya di Linggi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















