Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra ketika hadir ke Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Kaum India Negeri Sembilan di Majestic Hall, Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 25 JULAI 2026.

JIKA ada satu kelompok pengundi yang paling menjadi rebutan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, ia pastinya masyarakat India.

Walaupun jumlah mereka tidak sebesar pengundi Melayu, corak pengundian masyarakat India sering menjadi penentu di beberapa kerusi campuran khususnya di kawasan bandar dan separa bandar yang dijangka menyaksikan persaingan sengit.

Justeru, tidak menghairankan apabila setiap parti memberi perhatian khusus kepada kelompok pengundi itu termasuk Barisan Nasional (BN) yang dilihat semakin giat mendekati masyarakat India sepanjang tempoh berkempen.

Fenomena itu sekali lagi dapat dilihat apabila lebih 3,000 orang menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kaum India Negeri Sembilan di Majestic Hall di sini malam ini bagi mendengar sendiri amanat barisan kepimpinan BN yang diketuai pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Penyokong yang hadir pada Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Kaum India Negeri Sembilan di Majestic Hall, Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 25 JULAI 2026.

Bagi pemerhati politik, kehadiran luar biasa itu bukan sekadar mencerminkan kejayaan sebuah program politik sebaliknya memberi petunjuk bahawa BN dilihat semakin berjaya membina semula keyakinan masyarakat India selepas melalui tempoh yang cukup mencabar sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Hakikatnya, masyarakat India pernah menjadi antara tunjang kekuatan BN menerusi MIC selama beberapa dekad.

Namun landskap politik berubah secara ketara bermula pada PRU 2008 apabila berlaku gelombang penolakan yang menyaksikan sokongan terhadap BN merosot, sebelum trend itu berterusan pada PRU 2013 dan mencapai kemuncaknya pada PRU 2018 apabila gabungan itu kehilangan pentadbiran Persekutuan buat pertama kali.

Sejak itu, usaha membina semula kepercayaan masyarakat India menjadi antara agenda utama MIC.

Gerak kerja di peringkat akar umbi diperkasakan, hubungan dengan pertubuhan masyarakat dipererat manakala pelbagai isu berkaitan pendidikan, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi dan kebajikan terus diketengahkan.

Dalam usaha tersebut, peranan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dilihat cukup signifikan, beliau konsisten menggerakkan semula jentera parti, turun padang bertemu masyarakat serta memastikan suara komuniti India terus diberi perhatian dalam kerajaan dan BN.

Pada masa sama, kehadiran Ahmad Zahid di pentas kempen pula dilihat memberi nilai tambah kepada usaha berkenaan.

Selepas menerima sambutan menggalakkan sepanjang kempen PRN Johor, momentum yang sama seolah-olah diteruskan di Negeri Sembilan apabila setiap program yang dihadirinya terus menarik kehadiran masyarakat India dalam jumlah yang besar.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut meluahkan keyakinan masyarakat India dan Cina kini semakin kembali memberi kepercayaan kepada BN selepas melalui beberapa siri pilihan raya yang menyaksikan sokongan mereka beralih arah.

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra ketika hadir ke Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Kaum India Negeri Sembilan di Majestic Hall, Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 25 JULAI 2026.

Beliau malah menyatakan masyarakat India dan Cina mula ‘merindui BN’ selain mendakwa rakyat Negeri Sembilan juga mahukan gabungan itu kembali mentadbir negeri berkenaan.

Walaupun kenyataan itu merupakan mesej politik yang dibawa BN sepanjang kempen, sambutan yang diterima pada program berkenaan sedikit sebanyak memberi gambaran mengapa kepimpinan parti begitu yakin mengetengahkan naratif tersebut menjelang hari pengundian.

Hakikatnya, Negeri Sembilan bukan sebuah negeri yang boleh memandang ringan pengaruh pengundi India, dengan komposisi masyarakat India antara yang tertinggi di negara ini, undi komuniti tersebut sering menjadi faktor penting yang mampu mempengaruhi keputusan di beberapa kerusi campuran.

Antara faktor yang turut mendapat perhatian masyarakat India ialah pendirian tegas Ahmad Zahid terhadap isu keharmonian kaum, beliau mengkritik kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang disifatkan berbaur perkauman sambil menegaskan politik berasaskan kaum tidak boleh diterima dan tidak wajar dikompromi dalam sebuah negara berbilang kaum.

Walaupun kenyataan itu dibuat dalam program berasingan daripada majlis di Port Dickson, pendirian tersebut dilihat memberi keyakinan kepada sebahagian masyarakat India bahawa masih ada pemimpin dalam BN yang berani menyuarakan perkara melibatkan keharmonian kaum.

Bersama pendirian yang sering dizahirkan Vigneswaran mengenai kepentingan komuniti India, ia sedikit sebanyak mengukuhkan persepsi bahawa suara masyarakat itu terus diberi perhatian.

Lebih menarik, walaupun BN dan Perikatan Nasional (PN) menjalin kerjasama dalam PRN Negeri Sembilan, kepimpinan BN tetap dilihat menyuarakan pendirian sendiri dalam perkara yang menyentuh kepentingan masyarakat India dan keharmonian negara.

Bagi sebahagian pengundi, pendekatan itu memberi gambaran bahawa kerjasama politik tidak menghalang BN mempertahankan prinsip kesederhanaannya.

Hakikatnya, MalaysiaGazette difahamkan, program tersebut pada asalnya dijadual berlangsung di lokasi lain sebelum permit bagi venue berkenaan dibatalkan pada saat-saat akhir memaksa penganjur memindahkan Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kaum India Negeri Sembilan ke Majestic Hall di sini.

Dalam kebanyakan keadaan, perubahan lokasi pada saat akhir lazimnya memberi kesan kepada jumlah kehadiran.

Namun perkara sebaliknya berlaku apabila ribuan masyarakat India tetap hadir malah ada yang datang dari Seremban, Port Dickson, Tampin, Kuala Pilah, Rembau dan beberapa daerah lain semata-mata untuk mengikuti program tersebut.

Di sebalik sambutan luar biasa itu, kejayaan program berkenaan turut dikaitkan dengan gerak kerja tersusun jentera BN dan MIC di peringkat akar umbi.

Antara individu yang memainkan peranan penting ialah Pegawai Khas Hal Ehwal Masyarakat India kepada Timbalan Perdana Menteri, Arvend Applasamy yang bertanggungjawab menyelaras keseluruhan program berkenaan.

Arvend Applasamy

Walaupun berdepan perubahan lokasi pada saat-saat akhir, penyelarasan melibatkan pertubuhan masyarakat India, sukarelawan, urusan logistik serta penyertaan tetamu berjaya dilakukan dengan lancar sehingga program tetap berlangsung dalam suasana penuh meriah.

Keadaan itu sekali lagi memperlihatkan kekuatan BN dalam mendekati masyarakat India bukan hanya bergantung kepada figura seperti Ahmad Zahid dan Vigneswaran semata-mata sebaliknya turut disokong oleh gerak kerja pasukan di belakang tabir yang memastikan setiap program dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Dalam politik, persepsi sering kali dibentuk melalui apa yang berlaku di lapangan. Apabila ribuan masyarakat India sanggup memenuhi sebuah dewan walaupun lokasi terpaksa ditukar pada saat akhir, ia sedikit sebanyak memberi gambaran minat untuk kembali mendengar sendiri tawaran, manifesto dan aspirasi BN semakin meningkat.

Mereka yang hadir bukan kerana konsert atau kehadiran artis terkenal sebaliknya, mereka mahu mendengar sendiri ucapan pemimpin, memahami hala tuju yang ingin dibawa BN serta menilai sendiri tawaran parti itu kepada rakyat Negeri Sembilan.

Sudah tentu, kehadiran ribuan penyokong di sesuatu program bukan jaminan kemenangan di peti undi. Namun pengalaman pada PRN Johor menunjukkan sambutan luar biasa terhadap siri kempen melibatkan Ahmad Zahid akhirnya diterjemahkan kepada keputusan yang memihak kepada BN di beberapa kerusi penting.

Kini, perhatian beralih ke Negeri Sembilan. Dengan beberapa kerusi yang mempunyai komposisi pengundi India yang signifikan termasuk DUN Seri Tanjung yang menyaksikan calon MIC membawa cabaran BN, gelombang sokongan yang mula kelihatan sepanjang kempen ini bakal menjadi antara faktor paling menarik untuk diperhatikan.

Sama ada momentum yang bermula di Johor mampu diterjemahkan sekali lagi di Negeri Sembilan atau sekadar kekal sebagai fenomena kempen, jawapannya hanya akan diketahui apabila rakyat membuat keputusan pada hari pengundian 1 Ogos nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast