KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta mengkaji semula beberapa fi berkaitan industri keselamatan swasta serta penetapan harga lantai perkhidmatan keselamatan bagi kualiti serta kebajikan pengawal kesemalatan terpelihara.
Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Mejar (K) Datuk Mohammad Ubaidillah Enam @ Iman berkata, ia melibatkan kenaikan fi lesen syarikat keselamatan dan fi cawangan serta fi lesen senjata yang memberi tekanan kepada syarikat keselamatan terutama yang bersaiz kecil.
“Pertama fi lesen senjata kini peningkatan mendadak dari 100 peratus hingga 900 peratus, kalau sebelum ini harga fi lesen senjata RM100 setiap tahun dan kini sudah meningkat RM1000 setahun untuk sepucuk pistol.
“Bayangkan jika mereka ini ada 50 pucuk senjata, jadi mereka perlu bayar RM50,000 setahun. Ini tidak termasuk dengan harga peluru yang kini naik harga 100 peratus dan kita perlukan peluru untuk latihan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penghargaan Sekuriti Swasta di sini, malam tadi.

Selain itu katanya, fi lesen syarikat dan fi pembukaan cawangan turut dinaikkan sdaripada RM3,000 setahun kepada RM12,000 bagi tempoh dua tahun yang akan berkuat kuasa pada 2027 sekaligus memberi bebanan kepada kos operasi industri berkenaan.
“PIKM turut mencadangkan kerajaan menetapkan harga lantai bagi perkhidmatan keselamatan kerana persatuan itu tidak mempunyai kuasa berbuat demikian berikutan terikat dengan Akta Persaingan 2010.
“Penetapan harga lantai penting bagi mengelakkan persaingan harga yang tidak sihat sehingga menjejaskan pembayaran gaji serta kebajikan lebih 200,000 pengawal keselamatan di negara ini,”jelasnya.
Selain itu, PKIM juga berharap KDN dapat menetapkan persempadanan yang lebih jelas antara syarikat keselamatan swasta, RELA dan Polis Bantuan bagi mengelakkan pertindihan fungsi di lapangan.
“Ini kerana terdapat projek yang sebelum ini dikendalikan syarikat keselamatan swasta kini dikendalikan RELA, sekali gus memerlukan garis panduan yang lebih jelas mengenai bidang kuasa setiap agensi,” ujarnya,
Mengulas lanjut, Mohammad Ubaidillah berkata, industri keselamatan swasta ketika ini melibatkan kira-kira 1,200 syarikat dengan lebih 200,000 pengawal keselamatan, termasuk kira-kira 50,000 warga Nepal, manakala nilai industri dianggarkan mencecah RM10 bilion berdasarkan data 2023. – MalaysiaGazette
















