JEMPOL – Menyedari kegagalan dalam subjek Bahasa Melayu boleh menyebabkan calon tidak memperoleh sijil penuh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Jeram Padang, Manivanan Gowin tampil menawarkan tusiyen percuma.
Manifesto ketujuhnya itu memfokuskan kepada pembangunan pendidikan dan modal insan menerusi pelbagai inisiatif termasuk kelas tuisyen Bahasa Melayu dan matematik percuma, latihan kemahiran digital dan program pembangunan belia.
Manakala golongan dewasa turut dibantu meningkatkan ilmu serta kemahiran agar mampu bersaing dalam dunia yang semakin mencabar.
Sehubungan itu, beliau berjanji menyediakan kelas tuisyen percuma calon SPM bagi membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik, sekali gus menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin.
“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan keputusan peperiksaan, malah membantu lebih ramai pelajar memperoleh sijil penuh SPM yang menjadi syarat penting untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, TVET dan memasuki pasaran pekerjaan.
“Tiada anak di Jeram Padang harus tercicir daripada peluang pendidikan hanya kerana kekangan kewangan. Pendidikan yang berkualiti adalah hak semua dan menjadi asas kepada masa depan yang lebih baik,” katanya.
Selain memberi tumpuan kepada pelajar, Manivanan turut memperkenalkan kelas Bahasa Malaysia untuk golongan dewasa bagi membantu mereka meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam urusan harian, pekerjaan dan komunikasi dalam masyarakat.
Beliau turut komited melaksanakan latihan kemahiran digital merangkumi penggunaan platform media sosial, pemasaran digital, penciptaan kandungan, teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pelbagai kemahiran digital lain.
Ia bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada anak muda serta komuniti setempat selaras dengan perkembangan ekonomi digital yang mendapat tempat di pasaran.
Manivanan turut merancang pelaksanaan kem kepimpinan belia yang memberi penekanan kepada pembangunan sahsiah, latihan komunikasi, pengucapan awam dan kerja berpasukan bagi membentuk generasi muda yang berintegriti, berkeyakinan serta berdaya saing sebagai usaha melahirkan pemimpin masa depan,
Pada masa sama, beliau berjanji akan memastikan sokongan berterusan kepada sekolah-sekolah di Jeram Padang melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta bagi memperkukuh program pendidikan, pembangunan sukan, aktiviti kokurikulum serta latihan kemahiran teknikal yang memberi manfaat kepada para pelajar.
“Kita bukan sekadar mahu melahirkan pelajar cemerlang tetapi generasi yang mampu memimpin, berinovasi dan mencipta peluang untuk komuniti mereka,” katanya.
Dalam perkembangan sama selepas seminggu berkempen, beliau berkata, sesi kempen berjalan lancar dan dapat bertemu pengundi di sini.
Manivanan turut mempelbagaikan kaedah kempen kesedaran kesihatan kepada penduduk dengan membawa doktor pakar memeriksa penduduk termasuk kepada warga emas di sekitar Jeram Padang.
“Saya diberi kesempatan untuk membawa pasukan doktor bagi bertemu para penduduk di Kampung Taman Jaya. Program ini memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan, khidmat nasihat serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















