Gambar hiasan

PEKAN – Polis belum menerima sebarang laporan daripada penduduk Kampung Chot, Chenor, Maran mengenai kenyataan bahawa beberapa rumah penduduk telah dibakar oleh pihak pemaju.

Menurut Ketua Polis Derah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, pihaknya hanya menerima laporan daripada beberapa individu daripada sebuah syarikat pemaju mendakwa diugut beberapa penduduk di kawasan terbabit pada 14 Julai lepas.

“Laporan dibuat seorang lelaki berusia 58 tahun yang mendakwa dia bersama beberapa rakan sekerja dariapda syarikat pemaju telah dihalang daripada menjalankan kerja-kerja pembersihan di Lot 42531, Mukim Luit, Maran.

“Pengadu turut mendakwa sekumpulan individu mengugut untuk membakar jentera, menghalau pekerja serta membaling batu ke arah sebuah kenderaan pacian empat roda milik syarikat sehingga mengakibatkan kerosakan,” katanya dalam kenyataan.

Susulan laporan itu, Wong berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran telah menjalankan siastan dan operasi pada 16 Julai.

Katanya, tiga lelaki tempatan berusia antara 28 tahun hingga 61 tahun ditahan di sekitar Kampung Chot dan Kampung Paya Besar, Chenor bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah di mana seksyen ini merupakan kesalahan yang boleh ditangkap tanpa waran,” jelasnya.

Tambah Wong, ketiga-tiga suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Maran dan dibenarkan reman selama sehari.

Beliau berkata, kertas siasatan lengkap akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

“Orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

“Polis sentiasa memandang serius sebarang bentuk ugutan, keganasan atau perbuatan yang boleh mengancam keselamatan awam dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya lagi.

Terdahulu, beberapa hantaran di media sosial tular mendakwa tiga Orang Asli di Kampung Chot, Maran ditahan polis susulan pertikaian tanah adat dengan syarikat pemaju di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast