GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemuliharaan Fort Cornwallis bukan bertujuan mengagungkan sejarah penjajahan sebaliknya menjadi medium untuk mendidik generasi akan datang mengenai pengalaman pahit yang pernah dilalui negara.
Beliau berkata, terdapat pihak yang mempersoalkan kehadirannya merasmikan pembukaan semula Fort Cornwallis yang dianggap sebagai simbol kezaliman penjajahan namun sejarah berkenaan perlu dipelihara sebagai pengajaran.
“Ada pihak menghantar mesej kepada saya bertanya mengapa saya merasmikan pemuliharaan Fort Cornwallis, yang dianggap sebagai satu tanda kezaliman penjajahan masa lalu.
“Benar. Tetapi itu sejarah kita. Kita mengajar anak-anak kita, bukan gemilang penjajahan itu tetapi getirnya kerana yang menentukan nasib Pulau Pinang, bukan rakyat Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan Fort Cornwallis di sini hari ini.
Tambah Anwar, sejarah negara tidak boleh hanya dilihat berdasarkan monumen atau pandangan kuasa penjajah terdahulu sebaliknya perlu ditafsir semula oleh rakyat Malaysia dengan mengambil kira pengorbanan dan perjuangan generasi terdahulu.
“Sejarah kita tidak boleh ditentukan oleh monumen masa lalu, oleh kehendak bekas penjajah kita sama ada Britain, Jepun atau Amerika Syarikat.
“Ia mesti ditentukan oleh rakyat kita dan dibina semula untuk memberi makna kepada pengorbanan serta kesungguhan rakyat Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata, sejarah termasuk zaman penjajahan memberi pengajaran bahawa negara perlu mempunyai kekuatan dalaman menerusi perpaduan, pembangunan, keamanan dan pertahanan yang kukuh.
Katanya, tanggungjawab generasi masa kini termasuk golongan muda adalah memastikan keamanan negara terus dipelihara.
“Tanggungjawab generasi sekarang termasuk generasi muda, ialah memastikan negara ini harus aman. Negara boleh dibina melalui perpaduan namun ia juga boleh musnah apabila perbezaan kaum dan agama terus dijadikan isu perpecahan.
Beliau turut mencadangkan supaya lawatan generasi muda ke Fort Cornwallis bukan sekadar melihat keindahan bangunan bersejarah itu, tetapi turut disertai penerangan mengenai sejarah, nilai perpaduan, harga sebuah kemerdekaan serta kesan penjajahan. – MalaysiaGazette
















