PILAH – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak pernah menyimpan dendam terhadap mana-mana pihak walaupun sering menjadi sasaran fitnah, tohmahan dan pengkhianatan sepanjang penglibatannya dalam dunia politik.
Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, setiap ujian yang dihadapi menjadikan dirinya lebih tenang dan memilih untuk tidak membalas perbuatan mereka yang pernah menzaliminya.
“Saya tidak pernah simpan dendam. Saya tidak pernah menzalimi orang walaupun saya sering dizalimi.
“Saya tidak mahu membalas dendam. Biarlah orang buat apa yang mereka rasa patut dilakukan, tetapi saya rasa lebih tenang.
“Makin banyak orang fitnah saya, makin banyak orang kata saya, saya menjadi lebih tenang,” katanya ketika berucap pada Program Agrikomoditi di Dataran Melang, di sini, hari ini.
Menurut Zahid, beliau percaya setiap fitnah dan tuduhan dilemparkan kepadanya akan dibalas dengan seadil-adilnya di akhirat, justeru beliau memilih untuk bersabar daripada bertindak balas.
“Sebab pahala orang itu akan datang kepada saya pada hari itu. Insya-Allah pahala saya akan terus bertambah.
“Silalah kata saya sebanyak mana pun,” katanya.
Dalam masa sama, Zahid mengakui terdapat pihak yang kurang senang dengan pendekatan kepimpinannya yang tegas, termasuk membuat perubahan terhadap individu yang gagal menunjukkan prestasi memuaskan.
Beliau berkata, setiap keputusan dibuat berdasarkan prestasi dan kepentingan organisasi, bukannya didorong oleh perasaan marah atau dendam.
“Itu sebabnya kadang-kadang orang marah kepada saya. Mereka kata, ‘baru satu penggal sudah ditukar’.
“Jangan tanya saya kenapa saya tukar. Tanya diri orang itu sendiri mengapa dia ditukar. Itu cara saya bekerja,” katanya lagi.
Presiden UMNO itu berkata, budaya bekerja berasaskan prestasi perlu menjadi amalan semua pemimpin dan wakil rakyat bagi memastikan amanah kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Mengulas pembangunan Kuala Pilah, Zahid memberi jaminan kerajaan akan terus memperkukuh sektor agrikomoditi di daerah itu demi meningkatkan taraf hidup pekebun kecil, peladang dan masyarakat luar bandar.

Katanya, kerajaan komited memastikan pembangunan sektor berkenaan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang dinikmati rakyat secara menyeluruh.
“Insya-Allah kita akan terus membantu dan menjadikan Kuala Pilah sebagai antara kawasan yang terbaik di Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat, peladang, pekebun kecil dan seluruh masyarakat di sini,” katanya. -MalaysiaGazette
















