Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar becakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kompleks Pas Negeri Sembilan, Ampangan. Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2026.

SEREMBAN – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar enggan mengulas dakwaan kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal disingkirkan daripada gabungan itu.

Sebaliknya, beliau menegaskan, sebarang keputusan berkaitan kedudukan parti komponen bukan terletak di bawah kuasa individu sebaliknya diputuskan secara muafakat oleh kepimpinan PN.

“Itu bukan kuasa saya sebagai pengerusi. Itu adalah kuasa bersama secara muafakat dalam PN. Kita tengoklah nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Manifesto PN di Kompleks Pas Negeri Sembilan di sini malam ini.

Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kompleks Pas Negeri Sembilan, Ampangan. Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2026.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Ahli Jawatankuasa Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard yang mendakwa Bersatu berdepan kemungkinan disingkirkan daripada gabungan berkenaan.

Samsuri bagaimanapun tidak mengesahkan mahupun menafikan dakwaan tersebut dan hanya menegaskan bahawa sebarang keputusan hanya boleh dibuat menerusi persetujuan bersama kepimpinan tertinggi PN.

Kenyataan itu sekali gus memberi bayangan bahawa sebarang perubahan terhadap struktur gabungan hanya akan diputuskan melalui mekanisme dalaman dan bukannya secara unilateral oleh mana-mana pemimpin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast