Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay ketika bercakap pada sidang media selepas selesai Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Berundur sempena persaraan beliau yang akan berkuat kuasa esok di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, PULAPOL, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mengkaji semula struktur gred jawatan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya lebih setimpal dengan skop tanggungjawab serta beban tugas yang dipikul pasukan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, cadangan itu bukan dibuat kerana bakal beliau bersara, tetapi pernah disuarakan secara terbuka kepada Menteri Dalam Negeri dua bulan lalu pada majlis Wira Madani di Kuantan, Pahang.

“Saya kata perlu ada pembetulan balik dan perlu disusun balik.
Ada sikit kekhilafan ataupun ketidakaturan struktur PDRM.

“Kalau tengok Ketua Polis Negara adalah Turus 2, Timbalan Ketua Polis Negara (DIG) Jusa A. Sepatutnya DIG ini Turus 3, pengarah-pengarah Jusa A semua, ketua polis Jusa B, barulah selari.

“Kita tidak boleh bandingkan PDRM dengan Angkatan Tentera Malaysia. Tentera dia ada tiga servis, tak semestinya tentera dapat tiga Jusa A, kita tiga… kita ada 10 jabatan dan setiap hari ada pertambahan jumlah penduduk, beban kerja banyak serta kita perlukan lebih ramaj pegawai penyiasat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) hari ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan menegaskan cadangan itu bukan untuk kepentingan dirinya yang bakal menamatkan perkhidmatan.

Sebaliknya, kata beliau, saranan itu demi memastikan kebajikan serta struktur kerjaya pegawai PDRM terus diberi perhatian oleh kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast