SEREMBAN – Kehadiran Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dalam siri kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak memberikan kesan buruk kepada gabungan itu.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Ahmad Fahmi Fadzil berkata, penglibatan Kor Ming dalam kempen PH di negeri ini tidak menjejaskan sokongan pengundi terhadap gabungan berkenaan.
“Tak (memberikan kesan). Beliau tidak dihalau seperti Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Ahmad Fahmi berkata demikian mengulas pertanyaan media sama ada kehadiran Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam siri kempen PRN Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Semasa kempen di PRN Johor, Kor Ming menegaskan beliau hanya akan meletakkan jawatan sebagai menteri sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan tanpa menjalani hukuman yang setimpal, walaupun telah disabitkan bersalah.
Kor Ming berkata, pendirian itu bukan bersifat peribadi, sebaliknya berlandaskan prinsip mempertahankan kewibawaan sistem kehakiman negara.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor supaya supaya mengelak kenyataan yang boleh membangkitkan sensitiviti kaum dan agama sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan.
Ahmad Zahid berkata Menteri Besar Kedah itu sepatutnya memberi tumpuan kepada pentadbiran negerinya sendiri berbanding berkempen di Negeri Sembilan.
Sanusi ketika berucap pada satu ceramah di Jempol dilapor berkata orang Melayu tidak mempunyai tanah air lain, manakala kaum India, Cina, Kemboja dan Thai masing-masing mempunyai negara yang dikaitkan dengan etnik mereka.
Dalam pada itu, Fahmi turut ditanya mengenai penglibatan pempengaruh, Caprice dalam kempen di Negeri Sembilan, Ahmad Fahmi berkata, individu berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kempen PH atau gabungan politik itu.
“Caprice masih datang kempen di Negeri Sembilan ini? Dia memang influencer rasmi? Tak. Maksudnya, dia tak ada kaitan,” katanya.
Dalam sidang media sama, Fahmi turut ditanya mengenai sebarang tindakan yang boleh diambil terhadap bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming yang dilihat sering kali membuat kenyataan yang tidak menyebelahi PH.
“Itu hak dia. It’s okay,” jawab Fahmi ringkas.
Sebelum ini, Kian Ming membuat kenyataan belai percaya DAP akan berdepan tekanan yang semakin kuat untuk menarik diri daripada kerajaan sekiranya BN membentuk kerajaan Negeri Sembilan selepas pilihan raya negeri.
Bercakap dalam episod terbaharu audio siar Keluar Sekejap, pemimpin DAP itu berkata persoalan utama ialah sama ada BN mampu memperoleh kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian, atau dengan sokongan terhad daripada Perikatan Nasional (PN), selepas PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos. – MalaysiaGazette
















