JOHOR BAHRU – Perlumbaan Formula 1 (F1) yang kembali ke Malaysia adalah hasil kejayaan diplomasi antara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Hamad Isa Al-Khalifa, Raja Bahrain.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kejayaan itu memperlihatkan hubungan erat serta kepercayaan tinggi antara Sultan Ibrahim dan Raja Hamad.
“Semenjak tahun 2017, Seri Paduka Baginda dan Raja Hamad telah menjalin persahabatan peribadi yang baik dan ia terus berkembang kepada pengukuhan hubungan diplomasi antara Bahrain dan Malaysia, dengan Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Bahrain pada tahun 2025.
“Susulan cabaran terhadap kalendar perlumbaan F1 akibat konflik bersenjata di Asia Barat, penganjuran F1 Grand Prix Bahrain berdepan ketidaktentuan dan memerlukan penyelesaian segera bagi memastikan perlumbaan berprestij itu dapat diteruskan,” menurut kenyataan tersebut hari ini.
Kenyataan tersebut memberitahu, dalam usaha mencari jalan penyelesaian, Raja Bahrain mengadakan perbincangan dengan Sultan Ibrahim menerusi panggilan telefon.
Jelas kenyataan itu, perbincangan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra serta semangat persahabatan itu menjadi titik tolak kepada kerjasama strategik antara kerajaan Malaysia, Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan Federation Internationale de l’Automobile (FIA).
Hasil persefahaman itu, persetujuan berjaya dicapai untuk menganjurkan Formula 1 Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, sekali gus mengembalikan perlumbaan Formula 1 ke Malaysia selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017.
“Pengumuman litar Sepang sebagai tuan rumah bagi F1 Grand Prix Bahrain diterima baik, terutama dalam kalangan peminat F1 di Malaysia dan serantau serta mencipta lembaran sejarah tersendiri yang mencerminkan hubungan diplomasi diraja yang cukup baik antara Sultan Ibrahim dan Raja Hamad,” tambah kenyataan itu. – MalaysiaGazette
















