NIBONG TEBAL – Kes seorang lelaki cedera ditembak di kawasan perniagaan Seri Tambun, Simpang Ampat di sini, hari ini diklasifikasikan sebagai cubaan bunuh serta kesalahan berkaitan senjata api.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 10 pagi yang melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun cedera ditembak.
Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan pada lengan kanan akibat insiden itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Siasatan di tempat kejadian membawa kepada penemuan beberapa bahan bukti bagi membantu siasatan.
“Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut termasuk mengenal pasti motif kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Jay January, semua pihak dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Rizal Abd Rashid di talian 019-8282212 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Ingat tayar lori pancit, rupanya bunyi tembakan – Saksi kejadian
Lelaki baru selesai beli telur cedera ditembak di Simpang Ampat
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau cedera ditembak sebaik keluar dari sebuah kedai serbaneka selepas membeli telur
Difahamkan, ketika mangsa hendak memasuki keretanya, dia didatangi seorang lelaki bertopeng yang memakai jaket hitam sebelum suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya.
Mangsa kemudian melarikan diri masuk ke sebuah kedai makan berhampiran bagi menyelamatkan diri, namun suspek dipercayai mengejarnya dan melepaskan beberapa lagi tembakan sehingga mengenai tangan kanan mangsa.
Suspek dipercayai melepaskan sekurang-kurangnya lima das tembakan sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta. – MalaysiaGazette















