PUTRAJAYA – Operasi penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) akan diperhebatkan tanpa sebarang kelonggaran meskipun depot imigresen di seluruh negara berdepan masalah kesesakan, memandangkan isu itu berkait rapat dengan keselamatan dan kedaulatan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu meneruskan momentum serbuan bagi memastikan warga asing yang berada di negara ini mematuhi Akta Imigresen termasuk memiliki dokumen sah, tidak tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan tidak menyalahgunakan pas lawatan.
“Negara kita terbuka dan memberi peluang kepada mereka mencari rezeki, tetapi mereka juga perlu mematuhi undang-undang negara.
“Jika didapati melanggar peraturan, tindakan sewajarnya termasuk penahanan di depot imigresen perlu diambil,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini
Saifuddin berkata, Malaysia kini mempunyai 19 depot imigresen, namun kapasiti penempatan sedia ada telah melebihi had susulan peningkatan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan.
Katanya, isu kesesakan depot sering mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membangkitkan aspek kemanusiaan, namun kerajaan perlu mengimbangi antara penguatkuasaan undang-undang dan kebajikan tahanan.
Saifuddin turut mendedahkan dalam pertemuan dua hala antara Malaysia dan Indonesia sebelum ini, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana membuka peluang pekerjaan kepada rakyat negara itu.
“Namun, beliau juga menegaskan sekiranya rakyat Indonesia melanggar undang-undang domestik Malaysia, maka Kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan mengikut undang-undang negara ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, KDN akan terus memperjuangkan pindaan Akta Penjara bagi memberi perlindungan sewajarnya kepada pegawai penjara yang menjalankan tugas secara suci hati dan mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau menjelaskan, terdapat pelbagai situasi yang mendedahkan pegawai penjara kepada tindakan undang-undang termasuk melaksanakan hukuman yang diputuskan mahkamah, mengendalikan kematian banduan akibat faktor kesihatan serta menghalang insiden keganasan dalam penjara.
“Pengarah penjara pernah disaman kerana makanan tidak sedap. Ada juga kes pegawai melaksanakan hukuman sebat mengikut keputusan mahkamah, tetapi tetap berdepan tindakan undang-undang apabila berlaku kematian selepas itu.
“Kita bukan mahu memberikan imuniti atau kekebalan kepada pegawai penjara. Jika ada salah laku, tindakan tetap perlu diambil.
“Namun, kita juga perlu berlaku adil kepada penjawat awam yang melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha meminda Akta Penjara yang pernah dibawa sebelum ini tidak berjaya diluluskan, namun kementerian akan meneruskan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi menjelaskan rasional pindaan tersebut.
Saifuddin pada masa sama mengulangi komitmen KDN untuk terus menyokong pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia dalam menangani isu kesesakan penjara serta meningkatkan kebajikan dan profesionalisme warga jabatan itu. – MalaysiaGazette
















