Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang dilanggar lari di Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Kulai hari ini.

KULAI – Seorang pemuda maut dalam kejadian dipercayai langgar lari di kilometer 35 Jalan Johor Bahru-Air Hitam, arah Kulai di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 4.38 pagi.

“Kemalangan melibatkan motosikal jenis Yamaha 15ZR dengan sebuah kenderaan yang jenisnya tidak dapat dipastikan.

“Kemalangan dipercayai berlaku semasa penunggang motosikal iaitu seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dari arah sedenak ke Kulai dilanggar kenderaan yang tidak pasti,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memberitahu, akibat kemalangan tersebut penunggang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi akibat cedera parah.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Seng Lee meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Ruslan Mohamed 013-3063710.

Tambahnya, mereka boleh juga hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast