PUTRAJAYA – Penahanan 12 anggota polis yang disyaki terlibat dalam kes memeras ugut seorang warga asing membabitkan RM2 juta membuktikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berkompromi terhadap salah laku dalam kalangan anggotanya sendiri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan pantas yang diambil termasuk penahanan dan siasatan terhadap anggota terbabit menunjukkan komitmen pasukan itu dalam memastikan integriti terus dipelihara.
“Polis telah menangkap, menahan dan mengambil tindakan terhadap mereka.
“Itu adalah mesej yang jelas dan tegas bahawa pasukan ini tidak akan berkompromi dalam isu berkenaan, walaupun melibatkan anggota sendiri,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Semalam media melaporkan polis sedang menyiasat 12 pegawai dan anggota yang didakwa memeras ugut seorang warga asing sebanyak RM2 juta.
Difahamkan, mangsa dibebaskan selepas membayar AS$140,000 (RM572,669) kepada suspek.
Mangsa kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, sekali gus membuka siasatan dalaman terhadap kumpulan terbabit.
Menurut sumber, kumpulan berkenaan dipercayai menuntut RM2 juta daripada mangsa, namun mangsa hanya mampu membayar sebahagian daripada jumlah yang diminta.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan sedang disiasat. – MalaysiaGazette
















