Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan tiba di Mahkamah Sesyen KL bagi sebutan kes berkaitan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 22 JANUARI 2026 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan akan mengemukakan 25 saksi dalam perbicaraan kes bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya Salwani Anuar @ Kamaruddin yang berdepan pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram.

Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, terdapat beberapa lagi dokumen berkaitan kes itu akan diserahkan kepada pihak pembelaan.

Oleh yang demikian, pihak pendakwaan memerlukan masa atas alasan dokumen tersebut perlu diperoleh daripada beberapa agensi.

Peguam Fahmi Abd. Moin berkata, beliau tidak membantah permohonan pendakwaan berhubung penyerahan dokumen itu dan memaklumkan pihaknya mungkin akan menghantar representasi selepas menerima dokumen daripada pendakwaan.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan sebutan kes pada 28 September ini untuk serahan baki dokumen.

Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa atas enam pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2.26 juta, yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya, di Jalan Melaka, Bukit Damansara, pusat bandar raya dan Ampang Point, Ampang, antara 2 Februari 2024 dan 7 November 2025.

Salwani, 27, pula didakwa atas empat pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM77,000 yang dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank milik syarikat dan di sebuah bank cawangan Damansara Heights, Wisma UOA II di sini, antara 24 November 2024 dan 25 November 2025.

Wanita itu juga didakwa atas satu pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya di sebuah cawangan bank di Jertih dekat Besut, pada 16 Januari 2025.

Pasangan itu didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast