JOHOR BAHRU – Seorang operator kilang maut ketika cuba mengelak sebuah motosikal penghantar makanan di kilometer 19.9 Lebuhraya Senai-Desaru di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 9.58 malam membabitkan tiga kenderaan.
“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan dua kereta. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta jenis Toyota Vios dipandu mangsa iaitu seorang lelaki tempatan, 19, bekerja sebagai operator kilang bergerak dari Desaru menghala ke Kulai.
“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa tidak sempat mengelak sebuah motosikal jenis Honda C70 ditunggang lelaki tempatan, 34, bekerja sebagai penghantar makanan kerana keadaan jalan gelap menyukarkan penglihatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kereta mangsa hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam longkang kiri jalan sebelum naik semula ke atas lorong kiri jalan sehingga tercampak keluar dari tingkap pintu kanan lalu terbaring di tengah jalan.
Katanya, tiba-tiba sebuah kereta dipandu seorang wanita tempatan, 44, bekerja sebagai jurujual datang dari belakang melanggar mangsa yang terbaring di tengah jalan.
Akibat kejadian itu katanya, mangsa mengalami pelbagai kecederaan di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai pembantu perubatan.
Mangsa katanya, dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk proses bedah siasat.
“Sementara penunggang motosikal pula terbabas ke kiri bahu jalan serta mengalami kecederaan di bahagian siku, tangan kanan kiri luka dan luka kaki kanan kiri menerima rawatan di HSI,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan.
Mereka juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Dayang Aziemah Awang Sabeli 017-3064779 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















