Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berucap pada ceramah kelompok sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Rahang, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 26 JULAI 2026.

SEREMBAN – Rakyat perlu menolak politik perkauman dan agama serta memilih kerajaan berdasarkan prestasi, kata Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Beliau berkata, politik yang memainkan sentimen perkauman dan agama hanya akan menyebabkan rakyat gagal menilai keupayaan sesebuah kerajaan untuk mentadbir negara dengan baik.

“Saya menolak politik perkauman. Saya tahu bahayanya kalau kita hari-hari ceritakan perkauman, membakar semangat agama dan juga perkauman.

“Akhirnya kita menjadi buta dan tidak boleh memilih kerajaan yang berprestasi, tetapi berdasarkan warna kulit dan agama. Ini berbahaya,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Bilik Gerakan PKR Cabang Seremban.

Menurut Pengarah Strategi PKR itu, politik berasaskan perkauman boleh menyebabkan pemimpin yang tidak berprestasi terus mendapat sokongan hanya dengan memainkan sentimen tersebut pada setiap pilihan raya.

“Ia boleh membakar semangat, dia menang, selepas itu dia tidak perlu buat apa-apa pun. Dia boleh ada kroni, boleh buat macam-macam, tetapi akhirnya dia boleh menang lagi menggunakan isu perkauman.

“Ini akan menyebabkan banyak negara yang menggunakan politik perkauman akhirnya semakin merudum dan negara menjadi parah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengajak rakyat meninggalkan politik lama dan bersama-sama membina politik baharu yang lebih progresif, bersih serta berasaskan prestasi.

“Ini bukan cerita saya atau Tok Nas, bukan William, bukan Anwar atau Tok Menteri. Ini sesuatu yang lebih besar daripada kita semua. Ini untuk negara kita dan masa depan kita.

“Kita tidak boleh selama-lamanya terperangkap dalam politik perkauman dan politik lama. Kita perjuangkan sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Sim berkata, rakyat juga perlu mempertahankan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa lebih progresif, bersih dan responsif daripada sebarang usaha untuk menjatuhkannya.

“Kita telah berjaya menumbangkan Barisan Nasional pada 2018. Kita cuba sejak 2018, ada kerajaan Pakatan Harapan yang pertama jatuh. Kita kembali sekali lagi pada 2023.

“Kali ini, kita harus menghentikan segala cubaan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan yang lebih progresif, kerajaan yang bersih dan responsif berdasarkan prestasi,” katanya.

Beliau mendakwa terdapat pihak tertentu yang kini cuba menghidupkan semula isu perkauman dan agama bagi melemahkan kerajaan sedia ada.

“Mereka tahu kalau Pakatan Harapan berjaya, mereka akan kalah selama-lamanya kerana mereka tidak dapat menandingi prestasi yang kita ada.

“Jadi yakinlah perjuangan kita ini berada di landasan yang betul dan kita harus berani untuk memimpin politik yang baharu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast