KUALA LUMPUR – Seramai 113 pelarian termasuk 110 warga Rohingya yang berlindung di Dataran Wira, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) sejak semalam tidak akan ditempatkan di depoh tahanan imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, ini kerana mereka memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang dibenarkan berada di Malaysia atas dasar kemanusian.
“Kesemua pelarian ini tidak boleh ditempatkan di depoh tahanan imigresen dan mereka akan berada di bawah pengawasan sementara pihak PDRM sementara menunggu penetapan penempatan mereka dimuktamadkan.
“Walaupun pemegang kad UNHCR diberikan kebenaran atas faktor kemanusian, pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan peraturan negara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan, sehingga kini keputusan berhubung lokasi baharu bagi menempatkan 113 pelarian termasuk 110 warga Rohingya yang berada di Dataran Wira, IPK Kuala Lumpur masih belum dimuktamadkan.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, hasil semakan dokumentasi ke atas warga Rohingya yang terlibat mendapati mereka mempunyai dokumen sah iaitu kad pelarian UNHCR.
Jelas beliau, kesemua pelarian itu melibatkan seorang warga Iraq, seorang wanita warga Somalia dan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan isteri kepada pelarian Rohingya.
Manakala baki 110 pelarian Rohingya terdiri daripada 36 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan.
Proses dokumentasi telah dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur (JSJN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kuala Lumpur (JKA) serta wakil pejabat UNHCR. – MalaysiaGazette
















