KETIKA kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memasuki hari-hari terakhir, satu persoalan semakin menarik perhatian pemerhati politik.
Mengapa hampir setiap polemik sepanjang kempen akhirnya kembali kepada nama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke?
Walaupun hanya mempertahankan kerusi DUN Chennah, Anthony dilihat menjadi antara pemimpin paling banyak disebut dalam ceramah dan kenyataan pihak lawan, seolah-olah beliau merupakan watak utama dalam keseluruhan kempen PRN kali ini.
Dalam politik, keadaan seperti itu jarang berlaku secara kebetulan.
Lazimnya, tokoh yang mempunyai pengaruh besar akan dijadikan sasaran dengan harapan persepsi terhadap individu tersebut dapat mempengaruhi keyakinan pengundi terhadap parti yang diwakilinya.
Sebagai Ahli Parlimen Seremban, Menteri Pengangkutan dan Setiausaha Agung DAP, Anthony bukan sahaja memainkan peranan penting dalam parti malah menjadi antara wajah utama Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Sepanjang tempoh berkempen, jadual beliau hampir tidak pernah kosong. Selain mempertahankan DUN Chennah, Anthony menjelajah ke hampir seluruh Negeri Sembilan membantu calon-calon PH, daripada Kuala Pilah, Tampin, Rembau, Jempol, Port Dickson hinggalah ke Seremban.
Apa yang menarik, hampir setiap lokasi yang dihadirinya menerima sambutan ramai.

Ceramah yang menampilkan Anthony sering dihadiri ribuan penyokong khususnya pada waktu malam sekali gus menjadikan beliau antara tarikan utama kempen PH.
Keadaan itu turut mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan pemerhati politik.
Ada yang melihat serangan berterusan terhadap Anthony bukan sekadar bertujuan menjejaskan peluangnya mempertahankan Chennah, sebaliknya sebagai usaha melemahkan moral dan imej seorang pemimpin yang dianggap tonggak utama DAP di peringkat nasional.
Tidak kurang juga yang membuat perkiraan bahawa jika Anthony tewas di Chennah, kesannya akan jauh lebih besar daripada kehilangan satu kerusi Dewan Undangan Negeri.
Sebagai Setiausaha Agung DAP, kekalahan beliau pasti akan menjadi tajuk utama politik negara dan memberi tamparan psikologi kepada parti itu walaupun PH masih berpeluang membentuk kerajaan negeri.
Atas sebab itu, tumpuan yang diberikan terhadap Anthony sepanjang kempen dilihat bukan sekadar berkisar mengenai Chennah tetapi membawa simbolik yang lebih besar terhadap kedudukan DAP dalam landskap politik negara.
Namun, di sebalik pelbagai serangan itu, Anthony dilihat tidak banyak mengubah pendekatan kempennya.
Beliau terus membawa mesej yang sama mengenai kestabilan politik, keyakinan pelabur, pembangunan ekonomi serta kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri tanpa terlalu melayan setiap polemik yang dibangkitkan.
Pendekatan itu menyebabkan naratif yang dibawanya kekal tertumpu kepada isu pentadbiran dan prestasi, berbanding perbalahan politik yang bersifat peribadi.
Ironinya, semakin kerap Anthony dijadikan sasaran, semakin besar juga perhatian yang diterimanya sepanjang kempen.
Dalam dunia politik, perhatian merupakan senjata yang mempunyai dua sisi.
Ia boleh digunakan untuk melemahkan lawan tetapi pada masa sama mampu meningkatkan lagi profil seseorang pemimpin sekiranya beliau berjaya mengawal naratif dan terus mendominasi ruang kempen.
Sama ada strategi pihak lawan itu berjaya atau sebaliknya hanya akan diketahui selepas keputusan diumumkan.
Namun berdasarkan corak kempen sepanjang hampir dua minggu ini, satu perkara sukar dinafikan, Anthony bukan sekadar mempertahankan sebuah kerusi DUN, sebaliknya telah muncul sebagai antara figura paling dominan yang mencorakkan keseluruhan naratif PRN Negeri Sembilan.
Persoalannya kini bukan lagi mengapa Anthony terus menjadi sasaran, tetapi sama ada perhatian luar biasa terhadap beliau akhirnya memberi kelebihan kepada pihak lawan atau secara tidak langsung mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara aset politik paling penting buat PH menjelang hari pengundian. -MalaysiaGazette
















