KUALA PILAH – Di sebalik perubahan landskap Pekan Kuala Pilah sejak lebih lima dekad lalu, satu perkara yang masih kekal ialah semangkuk cendol di KP Cendol Corner yang terus menjadi buruan pelanggan setia.
Berdekatan stesen bas lama Kuala Pilah, kedai yang pernah bermula sebagai gerai kecil itu bukan sekadar menjual pencuci mulut, malah menyimpan pelbagai kenangan zaman ketika kawasan berkenaan menjadi antara lokasi paling sibuk di daerah ini.
Bagi pemiliknya, Abu Backer Sattihiq, 67, resipi turun-temurun yang diwarisi daripada bapanya menjadi sebab utama perniagaan itu terus bertahan meskipun zaman sudah banyak berubah.
Menurut beliau, bapanya mula menjual cendol sekitar tahun 1975 dengan hanya menggunakan kereta sorong sebelum berpindah ke sebuah warung dan akhirnya membuka kedai tetap yang kini dikenali sebagai KP Cendol Corner.

“Arwah ayah mulakan perniagaan dengan menolak kereta cendol di sekitar kawasan stesen bas. Selepas itu berpindah ke warung sebelum kami membuka kedai tetap di sini.
“Ramai pelanggan yang datang sekarang pernah minum cendol ini semasa kecil. Hari ini mereka pula datang bersama anak dan cucu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Menurut Abu Backer, antara keunikan cendol yang dijual ialah penggunaan gula enau, namun masyarakat Negeri Sembilan lebih mesra menyebutnya sebagai ‘gula nam’, sebutan dialek yang sudah sinonim dalam kalangan penduduk tempatan.
Katanya, gula enau yang digunakan agak sukar diperoleh dan menjadi antara bahan utama yang memberikan rasa serta aroma tersendiri kepada cendol keluarganya sejak dahulu.
“Kalau orang Negeri Sembilan, mereka akan sebut ‘gula nam’. Orang luar kadang-kadang ingat gula enam, tetapi sebenarnya yang dimaksudkan ialah gula enau.
“Itulah antara rahsia yang kami kekalkan sampai sekarang. Ramai pelanggan dari luar datang mencari cendol ini sebab rasa gulanya berbeza,” katanya sambil tersenyum.
Beliau bagaimanapun enggan mendakwa cendol jualannya paling enak, sebaliknya menyerahkan kepada pelanggan untuk membuat penilaian.
“Kami tidak pernah kata cendol kami paling sedap. Kami cuma kekalkan resipi asal keluarga. Kalau pelanggan terus datang, itu maknanya mereka masih sukakan rasa yang sama,” katanya.

Selain cendol, kedai itu turut terkenal dengan rojak yang menggunakan kuah buatan sendiri berasaskan resipi keluarga, manakala sukatan setiap bahan masih dikekalkan seperti yang diajar oleh bapanya.
Mengulas cabaran berniaga ketika ini, Abu Backer berkata, kenaikan harga bahan mentah memberi tekanan kepada peniaga, namun beliau tetap berusaha memastikan kualiti makanan tidak berubah.
“Harga kelapa sekarang sudah lebih RM3 sebiji, belum lagi bahan-bahan lain. Memang kos meningkat, tetapi kami tidak mahu mengurangkan kualiti kerana pelanggan datang mencari rasa yang mereka kenal sejak dahulu,” jelas beliau.
Menurut beliau, jumlah pelanggan setiap hari bergantung kepada keadaan cuaca dengan ada masanya mencecah antara 200 hingga lebih 300 orang, manakala ketika hujan jumlah pelanggan biasanya sekitar 100 orang.
Katanya lagi, musim pilihan raya juga tidak memberi kesan besar kepada perniagaan kerana kebanyakan pelanggan merupakan pelanggan tetap yang sentiasa singgah apabila berada di Kuala Pilah.
Abu Backer turut mengimbau suasana sekitar stesen bas Kuala Pilah yang suatu ketika dahulu menjadi nadi pengangkutan utama dengan deretan bas ekspres dan bas henti-henti keluar masuk hampir sepanjang hari.
“Dulu memang meriah. Bas penuh dengan penumpang dan ramai akan singgah makan atau minum cendol sebelum meneruskan perjalanan.
“Sekarang suasana sudah jauh berbeza. Banyak syarikat bas sudah tiada, tinggal perkhidmatan MyBas sahaja. Walaupun begitu, syukur pelanggan lama masih tidak putus-putus datang,” katanya lagi.

Kini, KP Cendol Corner dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 5.30 petang dengan hanya berehat kira-kira sejam pada waktu solat Jumaat.
Bagi Abu Backer, melihat pelanggan yang pernah menikmati semangkuk cendol ketika zaman persekolahan kini kembali bersama keluarga mereka sendiri menjadi bukti rasa yang dikekalkan sejak lebih 50 tahun lalu bukan sekadar mengenyangkan.
Malah menjadi sebahagian daripada nostalgia Kuala Pilah. -MalaysiaGazette
















