Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Johor , Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid (empat dari kiri) bersama Timbalan Komander AKPS Pasir Gudang, Mohamed Ya'akob Mohamed Sultan (tiga dari kiri), selepas sesi pembentangan tatakelola kepada AKPS dan JIM di pejabat AKPS di Pasir Gudang, Johor hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lima cadangan penambahbaikan tatakelola pengurusan kawalan sempadan berkaitan aspek amalan, sistem dan tatacara pengurusan kemasukan warga asing di Terminal Feri Pasir Gudang dibentangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor.

Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Johor, Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid berkata, ia dikemukakan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Pasir Gudang Passenger Terminal Sdn Bhd.

“Antara cadangan itu adalah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi di lokasi pemeriksaan yang kritikal bagi meningkatkan pemantauan, penggunaan kamera badan oleh pegawai barisan hadapan serta mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) rasmi antara pihak AKPS/JIM dan pengurusan terminal.

“Dua lagi cadangan iaitu pemasangan sistem pintu pintar yang mampu mengesan pergerakan keluar masuk serta menghantar notifikasi secara masa nyata kepada pegawai yang diberi kuasa dan pembangunan Prosedur Operasi Standard (SOP) Bersepadu Pengurusan Kawalan Sempadan sebagai dokumen rujukan rasmi di pintu masuk negara,” katanya di pejabat AKPS Johor hari ini.

Tambah Sheikh Hamadi, pengukuhan tadbir urus, penyelarasan operasi dan mekanisme kawalan lebih sistematik antara AKPS, JIM serta pihak pengurusan terminal amat penting bagi mengurangkan jurang kawalan, mempertingkatkan integriti penyampaian perkhidmatan serta memastikan pengurusan pintu masuk negara dilaksanakan lebih cekap.

Sementara itu, Timbalan Komander, Pegawai Penghubung AKPS Pasir Gudang, Mohamed Ya’akob Mohamed Sultan dan Pengurus Besar, Pasir Gudang Passenger Terminal Sdn Bhd, Mohd Tuah Mohd Amin menyambut baik serta bersetuju melaksanakan cadangan yang dikemukakan SPRM.

Sesi pembentangan itu mencerminkan komitmen berterusan SPRM bersama rakan strategik seperti AKPS, JIM dan pihak pengurusan terminal dalam meningkatkan integriti institusi serta memperkasakan pengurusan kawalan sempadan negara demi menjamin keselamatan dan kepentingan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast