Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dapatan kajian menunjukkan, 96.8% responden bersetuju Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) berjaya meningkatkan budaya membaca rakyat Malaysia, manakala 93.8% menyifatkan acara itu memberikan pulangan ekonomi yang menguntungkan terhadap industri buku negara.

Majoriti atau 97.2% pengunjung juga bersetuju agar PBAKL diteruskan sebagai acara tahunan negara, manakala 98.2% berpendapat kerajaan perlu terus menyokong penganjurannya.

Dapatan itu dijana daripada Kajian Kepuasan dan Persepsi Pengunjung serta Kajian Penilaian Kepuasan Pempamer Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang dibentangkan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, hari ini.

Kajian tersebut dilaksanakan oleh Institut Darul Ehsan itu melibatkan 1,685 pengunjung dan 246 pempamer.

Ia mengesahkan bahawa PBAKL bukan sahaja terus menjadi pesta buku terbesar negara, malah semakin kukuh sebagai wadah nasional yang memperkasa budaya membaca, merangsang pertumbuhan industri buku dan menyokong agenda pembangunan negara berteraskan ilmu.

“PBAKL juga terbukti memberikan impak kepada ekonomi pembacaan apabila hampir 47.6% pengunjung berbelanja melebihi RM101.

“Kategori paling banyak dibeli ialah novel dan karya sastera (44.2%), diikuti komik atau manga serta buku motivasi dan pembangunan diri.

“Dapatan ini memberikan gambaran jelas berkenaan corak permintaan pembaca Malaysia serta peluang pertumbuhan kepada industri penerbitan,” katanya dalam satu kenyataan.

Gelagat pengunjung memilih sambil membawa bagasi untuk menyimpan buku yang dibeli pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL2026) ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 02 JUN 2026.

Selain itu, 94.3% pengunjung berpuas hati secara keseluruhan terhadap penganjuran PBAKL 2026, sekali gus mencatatkan peningkatan berbanding dengan kajian tahun sebelumnya.

Tahap kepuasan ini merangkumi pengurusan acara, susun atur reruai, kemudahan, program sampingan serta pengalaman keseluruhan sepanjang pesta berlangsung.

Dari sudut tingkah laku pembaca, kajian mendapati 68.9% pengunjung datang ke PBAKL khusus untuk membeli buku, sementara 41.1% datang mencari judul baharu. Ini menunjukkan fungsi utama PBAKL sebagai pasaran buku masih kukuh walaupun pesta ini kini berkembang sebagai festival ilmu, budaya, dan rekreasi keluarga.

Kualiti bahan bacaan yang dipamerkan turut mendapat maklum balas yang amat memberangsangkan apabila 94.8% pengunjung berpuas hati, sementara 89.1% menyifatkan promosi dan diskaun yang ditawarkan sebagai menarik, sekali gus menjadikan tawaran penerbit sebagai faktor penting yang mendorong pembelian buku.

Program sampingan seperti forum, bengkel, dan pelancaran buku juga terus menjadi tarikan apabila 87.8% pengunjung menganggap pengisian tersebut menarik, membuktikan bahawa PBAKL telah berkembang daripada sebuah pameran jualan kepada festival ilmu yang menghimpunkan penulis, penerbit, akademia, keluarga, dan masyarakat umum dalam satu ruang perkongsian ilmu.

Gelagat pengunjung membaca sambil membawa bagasi untuk menyimpan buku yang dibeli pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL2026) ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 02 JUN 2026.

Kajian turut memperlihatkan bahawa generasi muda terus menjadi nadi kepada PBAKL apabila 60.8% pengunjung terdiri daripada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, manakala hampir separuh daripada keseluruhan pengunjung berusia antara 18 hingga 24 tahun.

Dapatan ini menunjukkan PBAKL kekal relevan dalam menarik penyertaan generasi baharu yang bakal mencorakkan masa hadapan budaya membaca negara.

Dalam era digital, media sosial muncul sebagai medium promosi paling berkesan. Kajian mendapati 51.3% pengunjung mengetahui PBAKL melalui TikTok, diikuti Instagram (36.6%), sekali gus memperlihatkan perubahan corak komunikasi masyarakat dan pentingnya strategi pemasaran digital dalam memperluaskan capaian acara berskala nasional.

Dari perspektif industri, majoriti pempamer merupakan penerbit berpengalaman, dengan peningkatan penyertaan syarikat yang telah menyertai PBAKL sebanyak lima kali dan lebih daripada 10 kali. Trend ini membuktikan keyakinan industri terhadap keberkesanan PBAKL sebagai platform pemasaran, penjenamaan, dan penjanaan jualan.

Secara keseluruhannya, dapatan kajian ini mengesahkan bahawa PBAKL bukan sahaja berjaya mencapai objektifnya sebagai pesta buku terbesar negara, malah semakin kukuh sebagai platform nasional yang menghubungkan masyarakat dengan ilmu, memperkasa budaya membaca, memacu pertumbuhan industri buku serta menyumbang kepada agenda pembangunan negara berteraskan pengetahuan.

Gelagat pengunjung menyimpan buku yang dibeli ke dalam bagasi pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL2026) ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 02 JUN 2026.

Menurut Mohd Khair Ngadiron, Penasihat Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2026, dapatan kajian ini akan dijadikan asas penting bagi memperkukuh perancangan dan penambahbaikan penganjuran PBAKL pada masa hadapan.

Ia bagi memastikan PBAKL terus relevan dengan kehendak masyarakat, memenuhi keperluan industri perbukuan serta menyokong aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, berbudaya membaca, dan berdaya saing di peringkat global.

Selain kejayaan penganjuran yang dibuktikan menerusi dapatan kajian, PBAKL 2026 turut mengukuhkan kedudukannya di persada antarabangsa melalui Asian Rights Fair (ARF) 2026 yang dikendalikan oleh Perbadanan Kota Buku.

Program tersebut berjaya menghimpunkan 108 syarikat industri perbukuan dari 26 buah negara, menjayakan 801 sesi padanan perniagaan, serta disokong oleh 7 Duta Hak Cipta (Rights Ambassadors), 20 Felo ARF, dan tiga rakan strategik. Pencapaian ini mencerminkan peningkatan keyakinan komuniti penerbitan global terhadap Malaysia sebagai hab kerjasama industri buku dan perdagangan hak cipta di rantau Asia. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast