Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan di Kementerian Pendidikan, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 28 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar perlu dipertingkatkan sekiranya mahu mengangkat martbat Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat di persada global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun bahasa Melayu kekal sebagai bahasa yang wajib dikuasai  tanpa berkecuali, namun kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi global tidak boleh diabaikan.

“Kalau Malaysia ini mahu diangkat martabatnya sebagai negara hebat, penguasaan Bahasa Inggeris itu harus ditingkatkan. Nah, ini yang dilakukan di sekolah.

“Sebab itu sejak tiga tahun yang lalu, antara tugas utama yang saya berikan kepada Menteri Pendidikan ialah pastikan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dikuasai oleh semua anak tanpa kecuali, tanpa mengira aliran ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini yang turut dihadiro Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Tambah Anwar, sebelum ini  tahap penguasaan bahasa Melayu di beberapa aliran sekolah dianggap terlepas daripada pengawasan ketat, termasuk sekolah aliran agama, sekolah jenis kebangsaan serta sekolah antarabangsa.

Namun, sekarang ini kerajaan bersikap tegas bagi memastikan sekolah antarabangsa yang disertai ramai anak tempatan tidak mengetepikan penekanan terhadap bahasa Melayu dan subjek sejarah Malaysia.

“Dahulu kita sibuk tentang sekolah aliran Cina dan Tamil, tetapi ada yang lupa sekolah agama dan Arab juga kadangkala penguasaan bahasa Melayu mereka lemah.

“Malah, sekolah antarabangsa yang kini disertai ramai anak Malaysia, kadangkala tidak beri penekanan tentang bahasa Malaysia dan sejarah Malaysia. Maka, hal-hal ini kita telah saksikan perubahan dan ketegasan kita,” tegasnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menyarankan agar sistem pendidikan negara lebih inklusif dan terbuka dengan memberikan ruang kepada murid menguasai bahasa ketiga seperti bahasa Cina, Tamil, Arab mahupun Perancis.

Ujarnya, langkah itu selari dengan keperluan ekonomi semasa dunia yang memperlihatkan kepentingan bahasa-bahasa ini dalam urusan perdagangan dan pengurusan perniagaan antarabangsa, khususnya dengan kuasa ekonomi seperti China dan Rusia.

“Sikap kita harus lebih terbuka dan inklusif. Saya tahu ini akan jadi polemik politik yang tidak berkesudahan, tetapi saya menyeru rakan-rakan di kementerian dan guru-guru untuk faham.

“Tidak ada maksud sama sekali untuk kita meremehkan bahasa (Melayu). Seluruh hidup saya daripada Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) sampai sekarang adalah untuk bahasa Melayu.

“Namun saya juga tahu saya tidak mungkin boleh mengajar di Washington DC sekiranya tidak menguasai Bahasa Inggeris,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata, bahasa Cina kini bukan lagi sekadar bahasa mengikut kaum, tetapi telah beralih menjadi bahasa ekonomi yang penting di peringkat antarabangsa berbanding 50 tahun dahulu.

Sehubungan itu,  beliau mahu warga kementerian mempunyai tekad yang jelas dalam melaksanakan dasar tersebut meskipun ia melibatkan cabaran besar daripada segi penyediaan kurikulum, guru dan latihan di institut perguruan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast