KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam direman di Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang hari ini disyaki menerima rasuah sebagai balasan membawa masuk bahan terlarang ke dalam penjara bagi kegunaan banduan.
Perintah reman selama tiga hari sehingga 30 Julai terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.
Terdahulu, sumber memaklumkan, suspek yang berkhidmat di sebuah penjara di Bentong telah ditahan SPRM Pahang sekitar 5 petang semalam.
Menurut sumber, suspek dipercayai menerima wang rasuah kira-kira RM4,500 daripada ahli keluarga beberapa banduan dengan membawa masuk bahan terlarang bagi kegunaan banduan yang terlibat.
Tambah sumber, siasatan awal mendapati, wang rasuah itu dimasukan ke dalam akaun bank milik suspek antara Januari hingga Mac 2026.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















