Anwar pada majlis peluncuran AI Malaysia di Cyberjaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bakal melancarkan Program AI Untuk Rakyat bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2026 yang menawarkan akses dan langganan perisian Kecerdasan Buatan atau AI secara percuma khusus untuk golongan belia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif ini merupakan langkah penting dalam menjayakan misi AI Malaysia sekali gus memastikan rakyat di peringkat akar umbi tidak terpinggir daripada arus perubahan teknologi.

Menurutnya , program ini menyasarkan kira-kira 100,000 anak muda berusia antara 18 hingga 30 tahun sebagai kumpulan pertama yang akan menerima manfaat tersebut.

“Program ini ditawarkan secara percuma dengan syarat para belia mesti mengikuti dan melengkapkan modul khusus yang disediakan oleh Kementerian Digital.

“Modul tersebut merangkumi pendedahan penting tentang keselamatan AI, identiti AI dan teknologi awan AI sebelum mereka layak menerima langganan percuma aplikasi AI terbuka untuk tempoh tiga bulan,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran AI Malaysia di sini, hari ini.

Beliaua berkata, modul itu akan disiapkan dalam tempoh dua minggu.

Dalam pada itu, Anwar turut berkata, pembentukan sebuah negara AI tidak akan bermakna jika ia hanya berlegar dalam kalangan jabatan kerajaan atau golongan elit semata-mata.

“Pemerkasaan teknologi ini menuntut pendemokrasian akses agar jurang digital antara kawasan bandar dan desa dapat dirapatkan demi memastikan tiada rakyat yang berasa tersisih daripada arus pemodenan negara.

“Pesanan saya agar semua pihak dapat menguasai teknologi baharu ini diiringi dengan pemeliharaan nilai, budaya dan moral supaya jati diri masyarakat pelbagai kaum di Malaysia terus terpelihara.

Turut hadir, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast