SEREMBAN – Walaupun ada ramalan awal Barisan Nasional (BN) akan memenangi 25 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan namun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi nampaknya tidak mahu terlalu yakin mengenainya.
Pengerusi BN itu berkata demikian mengulas ramalan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang menjangka BN mampu memenangi 25 kerusi pada PRN di negeri itu kali ini.
Sebaliknya, beliau menegaskan, BN akan terus bekerja keras sehingga hari pengundian Sabtu ini dengan menganggap parti itu sebagai underdog dalam PRN berkenaan.
“Kita terus bekerja kerana kita adalah underdog. Saya rasa kita memang underdog dalam PRN kali ini dan kita tidak mahu melihatkan bahawa kita overconfident.
“Kita yakin dengan apa yang kita sedang lakukan dan kita yakin kita akan dapat menghidangkan kepada pengundi-pengundi dan penduduk Negeri Sembilan sesuatu yang berbeza daripada apa yang sedang mereka peroleh sekarang,” katanya dalam sidang media hari ini.
Selain Kian Ming, Presiden Urimai, P. Ramasamy turut berkata Pakatan Harapan (PH) bakal berdepan kekalahan serius dalam PRN Negeri Sembilan susulan perubahan sentimen pengundi Melayu dan bukan Melayu terhadap gabungan itu.
Kata beliau, salah satu punca kekalahan itu disebabkan persefahaman BNl dan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kedudukan BN sebagai underdog penting bagi memastikan pemimpin dan jentera parti tidak terlepas pandang mana-mana kumpulan pengundi, biar pun kelompok kecil.
Beliau berkata, pendekatan itu juga bagi memastikan jentera BN terus bekerja secara bersungguh-sungguh dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan sokongan pengundi.
“Kita merasakan pegangan underdog ini adalah penting untuk mengingatkan pemimpin dan jentera parti supaya tidak melakukan sesuatu di luar daripada normal dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak dapat diterima oleh pengundi-pengundi,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN terus berharap pengundi Negeri Sembilan memberikan peluang kepada parti itu untuk mentransformasikan negeri berkenaan termasuk daripada segi pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan menarik lebih banyak pelaburan.
Tambah beliau, manifesto BN turut menjanjikan 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun sekiranya diberi mandat untuk mentadbir negeri.
Ahmad Zahid berkata, usaha itu akan turut disokong lapan menteri BN di peringkat Persekutuan, selain memperkukuh latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan tenaga kerja baharu mendapat gaji premium.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan BN bertanding di 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala 11 kerusi lagi tidak ditandingi parti itu.
Dalam sidang media sama, Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik kadar keluar mengundi awal yang melebihi 88 peratus seperti dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata, kadar pengundian yang tinggi itu diharap dapat diteruskan pada hari pengundian PRN Negeri Sembilan, Sabtu ini.
“Tahniah kepada para pengundi awal kerana SPR telah memaklumkan bahawa kadar pengeluaran sangat tinggi, melebihi 88 peratus, dan jika ini dapat diteruskan pada hari kemudian, hari Sabtu ini, 1 Ogos, ini satu trend yang sangat baik.
“Mudah-mudahan demokrasi dapat diterjemahkan di Negeri Sembilan dengan paling terbaik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















